“Alhamdulillah setakat ini tiada lagi yang batalkan kerjasama tetapi tidak tahu apa akan jadi pada masa depan.”
ITU yang diungkapkan pelakon popular, Daiyan Trisha berhubung pendekatan lantangnya mengutuk kekejaman Zionis di Gaza biarpun berisiko akan menjejaskan kedudukannya sebagai duta pelbagai jenama antarabangsa.
“Harapnya tiada yang nak batalkan kontrak sebab saya hanya jalankan tugas seorang manusia yang menolak sebarang kekejaman terhadap golongan tidak berdosa terutama mereka yang beragama Islam,” kata Daiyan.
Memberi pandangan mengenai masyarakat memandang sinis sehingga wujud ‘cancel culture’ atau budaya boikot terhadap golongan selebriti yang tidak lantang bersuara mengenai isu Palestin, wanita berusia 30 tahun itu mempunyai pendapat tersendiri.
Tegasnya, budaya tersebut tidak sepatutnya dipraktikkan kerana setiap individu mempunyai cara sendiri dalam mempamerkan sokongan terhadap sebarang isu terutama konflik Palestin.
“Saya tak setuju apabila masyarakat mengecam segelintir selebriti yang tidak bersuara mengenai isu Palestin atau kemanusiaan.
“Saya tidak rasa bersuara dalam media sosial bagi menunjukkan solidariti adalah perkara wajib yang perlu dilakukan oleh mana-mana selebriti atau golongan berpengaruh.
“Mungkin mereka ada cara tersendiri untuk menzahirkan sokongan,” katanya lagi.
Tidak perlu menambah kebencian terhadap pihak lain dan cukup pada negara kejam Israel sahaja, itu yang berulang-kali ditegaskan Daiyan.
“Kadang-kadang ada yang tidak loud, tetapi dia ada cara lain untuk beri sokongan seperti menyalurkan dana dalam bentuk wang ringgit. Bukan semua kebaikan perlu dipaparkan dalam media sosial.
“Jadi tidak perlu sebarkan kebencian dan kecaman terhadap mereka yang tidak lantang bersuara tentang hal-hal sebegini. Hormat prinsip mereka.
“Tidak semestinya mereka tidak bersuara, mereka tidak pro-Palestin. Jangan sebab isu lain, umat Islam di sini pula berpecah-belah,” tuturnya lagi. – HIBGLAM