Tia ‘guitar hero’ – Jinbara

HAMPIR sedekad bersama kumpulan Jinbara, jasa Allahyarham Tia selaku bekas vokalis band rock otai itu sangat dihargai rakan seangkatan.

Menurut pemain dramnya, Ahtan, selain mempunyai vokal yang bagus, Tia atau nama sebenarnya, Shamsul Bakhtiar Zakaria yang bersama kumpulan terbabit bermula pada 2007 juga boleh bermain gitar dengan baik.

“Sebenarnya ramai tidak tahu selain menyertai kami sebagai vokalis menggantikan Yabang, Tia juga bermain gitar untuk album Patah Pusing yang diterbitkan pada 2007.

“Sebanyak lapan lagu dalam album itu menunjukkan kehebatannya bermain gitar. Boleh dikatakan dia ‘guitar hero’.

“Album pertama bersamanya yang turut memuatkan lagu hits Farhana (Puteri Bumi Kenyalang) terus meningkatkan momentum band ini.

“Kami terus bersatu sehingga menghasilkan album Enterpritasi Mental pada 2012 sebelum memilih haluan sendiri beberapa tahun kemudian,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Masjid Kota Raja Klang.

Selain Ahtan, beberapa rakan seperjuangan lain turut mengiringi perjalanan terakhir Tia yang menghembuskan nafas terakhir akibat kanser hati, malam tadi.

Menurut Ahtan lagi, dia yang kali terakhir bertemu Allahyarham ketika Gegar Vaganza musim empat bercadang mahu menziarah Tia selepas dapat mengumpul dana untuk pembedahannya.

“Saya dapat tahu mengenai keadaan kesihatan Tia menerusi Facebook dan ada menghubunginya selepas itu.

“Kami juga merancang kumpul derma untuk diagihkan kepada arwah dan vokalis kami sekarang, Along yang terlantar di hospital kerana jangkitan kuman pada otak.

“Namun, Allah lebih sayangkan arwah. Kami tak sempat bertemu dengannya, tapi doa kami sentiasa mengiringi arwah,” ujarnya.

Vokalis merangkap pengurus Jinbara, Cepot pula menyatakan Allahyarham merupakan kawan yang menyenangkan selain tidak berkira.

“Tia seorang rakan seangkatan yang baik hati, cepat mesra serta mudah bagi kerjasama. Memang sepanjang tempoh kami bersama sangat senang bekerja dengannya

“Kali terakhir, kami berjumpa ialah sewaktu program realiti TV, Gegar Vaganza pada 2017,” katanya.

Selain Ahtan dan Cepot, antara rakan lain yang mengiringi perjalanan terakhir Allahyarha ialah adalah seorang lagi bekas anggota band tersebut iaitu Yabang.

Yabang pula berkata, pemergian arwah Tia mengejutkannya kerana ketika hayatnya beliau nampak sihat.

“Saya dapat tahu berita mengenai arwah sakit daripada kumpulan WhatsApp tetapi dia tidak jawab panggilan apabila saya hubunginya semalam.

“Bagi saya arwah seorang yang berbakat, mempunyai suara yang tersendiri dan saya juga suka dengan vokalnya,” katanya.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Tia selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kota Raja pukul 10.03 pagi tadi.

Penyanyi itu mendirikan rumah tangga dengan bekas wartawan hiburan, Suzan Ahmad sejak 14 tahun lalu, namun tidak dikurniakan cahaya mata.- HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok