Thamiera The Gadys tak tumpang populariti Stacy

SEJAK menerjah dunia muzik pada 2021, kumpulan wanita The Gadys tampil dengan empat orang anggota yang terdiri daripada Nelissa Nizam, Faa Zaini, Aznie Azmi dan Ayunie Rizal.

Namun, tidak sampai lima tahun bertapak, bakat baharu yang dibayangi kumpulan Dolla itu sudah terpalit kontroversi pengunduran dua ahlinya iaitu Nellisa dan Faa.

Tanpa kenyataan rasmi saat kehilangan dua anggota, kekosongan The Gadys digantikan pula bakat kelahiran Sabah, Thamiera Chan.

Seiring dengan kehadiran Thamiera, The Gadys kini tampil dengan buah tangan keempat, Gagal Cinta sekali gus memperkenalkan anggota baharu kepada semua.

Ikuti temu bual bersama The Gadys dan kenali dengan lebih rapat, siapa Thamiera yang dikatakan mempunyai hubungan darah dengan penyanyi popular, Stacy itu.

KOSMO!: Apa maksud di sebalik lagu Gagal Cinta dan adakah karya tersebut ada kaitan dengan isu keanggotaan dalam The Gadys?

THE GADYS: Sebenarnya lagu ini tiada kena mengena dengan isu kumpulan kami. Cuma karya ini mengenai kegagalan dalam percintaan. Masa itu, kami tengah kecewa dalam perhubungan masing-masing.

Biarpun melodinya rancak dan ‘catchy’ tetapi hakikatnya lirik lagu Gagal Cinta ini sedih sebenarnya jika difahami betul-betul.

Lagi pun kami tidak mahu terbiasa dengan mood sedih walaupun mengenai putus cinta.

Hari ini The Gadys hadir dengan seorang ahli baharu. Kenapa ada pertambahan Thamiera dan apa sebab dia diserap masuk ke dalam kumpulan ini?

Tujuan kami ambil Thamiera sebagai ahli baharu kerana kami memang perlukan seorang lagi anggota.

Kalau berdua sahaja tidak jadi kumpulan, untuk teruskan The Gadys, kami memerlukan Thamiera.

Dia sudah empat bulan sertai kami. Kami rasa dia ada potensi yang sangat bagus tetapi belum ditonjolkan lagi.

Peminat mungkin akan mempersoalkan isu ahli lama. Bagaimana The Gadys mahu mengendalikan persoalan terbabit?

Apabila ramai yang tanya mengenai ahli lama, kami terkesan juga tetapi kami tidak boleh lari dari menjawab soalan tersebut.

Kami juga menghormati ahli lama yang mengambil keputusan untuk meneruskan karier solo. Mereka juga faham, kami tetap dengan The Gadys.

Untuk Thamiera, difahamkan anda merupakan anak saudara penyanyi Stacy. Semestinya anda akan sering dikaitkan dengannya. Jika dilabel dibayangi Stacy, bagaimana?

THAMIERA: Saya tidak kisah pun kena cop dibayangi Stacy sebab kami ada hubungan rapat. Kalau cakap tiru Agnez Monica itu lainlah cerita.

Malah, saya tidak riak pun Stacy mak cik saya dan mahu saya tegaskan bahawa saya tidak menumpang popularitinya.

Melancarkan lagu baharu ketika ada sentimen penggiat hiburan kurang sensitif isu penderitaan rakyat Palestin, apa komen The Gadys?

Pertama sekali, kami memang beri tumpuan dengan isu semasa dan turut bersedih dengan apa yang berlaku kepada rakyat Palestin.

Namun, kami perlu lancarkan lagu ini kerana ini kerjaya kami untuk karier kami sering berjalan kerana sudah berehat lama.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok