“KADANG-KADANG duduk berseorangan, tiada drama dan tiada salah faham berlaku pun orang tetap cakap buruk pasal kita.”
Demikian luahan pelakon Siti Khadijah Halim mengenai sikap skeptikal sesetengah pihak yang tidak senang dengan tindak-tanduknya sepanjang berada dalam industri hiburan.
Dek kerana itu, sebagai pelakon baharu, Siti Khadijah selesa memilih berdiam daripada terpalit tuduhan tidak enak mengenai dirinya.
“Bagi saya kalau diam, tidak banyak cakap lagi bagus sebab enggan cetuskan masalah lain atau takut salah borak.
“Kalau bercakap lebih-lebih atau terlalu ramah orang akan cakap saya menjengkelkan pula,” katanya ketika pelancaran produk terbaharu Tatagaltier, baru-baru ini.
Dalam masa sama, bintang drama Sekali Lagi Cinta itu turut berkongsi pernah melalui pengalaman pahit apabila tidak dipedulikan rakan sekerja di awal penglibatannya dalam dunia lakonan.
“Saya pernah dipulaukan semua orang termasuk kru dan artis ketika mula-mula menceburi bidang seni.
“Mungkin saya pernah buat sesuatu kepada orang sebelum ini secara tidak sedar walaupun tiada niat mahu pulaukan orang.
“Itu kitaran hidup yang tidak seronok. Tiada siapa yang mahu dipulaukan dan duduk sendirian,” jelasnya lagi.
Terdahulu, Siti Khadijah mempertahankan rakannya, aktres jelita Sophia Albarakbah yang terpalit dakwaan dipulaukan rakan industri gara-gara isu penyondol.
Menurut pelakon berusia 26 tahun itu, Sophia tidak diboikot sebaliknya disenangi rakan artis dan kru produksi. -HIBGLAM