Strong Girl Nam-Soon merengsakan

SEBELUM ulasan ini bergerak ke hadapan, pengakuan jujur bahawa penulis masih terkedek-kedek menghabiskan episod keenam selepas lebih seminggu cuba menghadam apa yang cuba dibentangkan K-Drama terbaharu, Strong Girl Nam-Soon.

Sedikit perlahan menelaah karya arahan dua pengarah Kim Jeong-sik dan Lee Kyung-sik itu, namun setakat ini masih belum bertemu dengan gist atau sebab mengapa perlu meneruskan tontonan siri yang panjangnya 16 episod tersebut.
Sejujurnya, tiada masalah dengan cerita bercorak atau bertemakan aksi, jenayah dan komedi, namun kalau Strong Girl Nam-Soon dibandingkan dengan Moving terbitan Disney+, memang jauh terpelanting.

Selain berkisar tentang kekuatan fizikal Nam-soon, siri ini juga menceritakan tentang pembongkaran jenayah dadah di Gangnam.B

Setakat ini, kebanyakan babak atau terjemahan karakter yang dipaparkan terlalu bersifat sama ada cringey (janggal), cheesy (membuatkan hati cair) dan meleret-leret.

Mungkin bukan bertepatan dengan selera peribadi seseorang yang mengharapkan agar cerita superhero atau adiwira dikembangkan dengan komedi atau elemen ‘romcom’ yang berpada-pada tapi sebaliknya, lain yang ditonjolkan dalam Strong Girl Nam-Soon.

Barangkali masih terlalu awal untuk menghakimi (memandangkan penulis masih mencuba untuk menghabiskan episod keenam) namun, itulah realiti apa yang dirasakan.

Watak Nam-Soon yang dijayakan bintang Squid Game iaitu Lee Yoo-mi tidaklah teruk, namun pada masa sama, tidak jua memberi dampak yang kuat kepada penonton seperti penulis.

Barangkali, buat mereka yang sukakan cerita dengan banyak adegan ‘bersemut’ akan senang jatuh cinta dengan sinergi yang dicantumkan sparring Yoo-mi iaitu pelakon kacak Ong Seong-wu (Gang Hee-sik). Itu terpulang.

Begitu juga kualiti lakonan yang dicernakan pemain utama lain iaitu Kim Jung-eun sebagai Hwang Geum-joo dan watak nenek Nam-Soon yang dijayakan pelakon berpengalaman, Kim Hae-sook.

Penulis bukan tidak tahu bahawa Nam-Soon merupakan sepupu kepada Do Bong-soon iaitu seorang wanita yang berkuasa dan kuat luar biasa sepertinya. Watak tersebut juga pernah didokumentasikan dalam bentuk siri televisyen sekitar 2017.

Sepupu Boon-soon, villain lambat

Mungkin seharusnya tonton Strong Girl Bong-soon terlebih dahulu dan kemudian barulah memberikan sedikit masa untuk Nam-Soon bagi mendapat perspektif yang lebih tepat tentang universe atau galaksi cerita dipaparkan.

Satu lagi hal yang sedikit mencela adalah kualiti teknik janaan komputer (CGI) atau kesan khas (VFX) dalam Strong Girl Nam-Soon. Sedikit kurang kemas dan memang ‘kantoi’ tidak diadun dengan secukup-cukupnya.

Barangkali dikekang soal bajet atau kepakaran, namun kalau dibandingkan dengan Moving, memang jauh terbelakang.

WATAK villain, Shi-Oh (kiri) antara yang dinanti-nanti untuk ‘pecah telur’ menjelang episod-episod berikutnya selain watak ibu kandung Nam Soon Geum-joo yang disukai ramai.

Seperkara lagi, sudah hampir meninggalkan episod keenam, masih tidak terasa bahang villain yang dicernakan menerusi watak Ryu Shi-oh oleh Byeon Woo-seok.

Mungkin ‘lambat panas’ atau permainan pengarah untuk mengunci jiwa mereka yang suka dihidangkan dengan elemen cheesy melampau dalam K-Drama bernuansa adiwira.

Apapun, siri ini masih berstatus cerita yang mudah menjerat hati audiens, namun terpulang kepada penerimaan dan selera masing-masing. Markah B+ setakat episod keenam. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok