“TUNGGU kenyataan saya dan Raf.”
Demikian respons pelakon Mawar Rashid apabila dihubungi HibGlam bagi mendapatkan kenyataan mengenai spekulasi rumah tangganya di ambang perceraian.
Menurut Mawar, dia dan suaminya, Raf Yaakob akan memberikan kenyataan hari ini.
Kata pemilik nama sebenar Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid itu lagi, semua perkara berhubung desas-desus mereka ke Mahkamah Syariah hanya akan dinyatakan secara bersama.
Pada masa sama, ibu kepada tiga cahaya mata itu memohon maaf kerana tidak dapat memberikan sebarang komen buat masa ini.
“Minta maaf sebab saya tak boleh lagi bagi komen sekarang. Doakan semoga semuanya dipermudahkan,” katanya ketika dihubungi HibGlam.
Difahamkan pasangan yang mendirikan rumah tangga pada November 2017 itu sepatutnya hadir ke mahkamah syariah semalam.
Spekulasi pergolakkan rumah tangga mereka hangat diperkatakan selepas Mawar, 28, tidak lagi berhijab sekitar awal bulan lalu.
Menguatkan lagi dakwaan itu apabila dia dilihat bertindak memadam gambar bersama adik kepada penyanyi Datuk Fazley Yaakob itu yang pernah dimuat naik dalam instagram.
Menerusi perkahwinan itu, pasangan terbabit dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Raden Muhammad, 4, Raden Seri Rosabella Cinta, 2, dan Raden Seri Riyanna Sayang yang kini berusia 10 bulan.
Raf atau nama sebenarnya Raden Ahmad Faizal Yaakob pula sebelum ini mempunyai dua cahaya mata daripada perkahwinan terdahulu. – HIBGLAM