PELAKON ternama Hollywood, Mark Ruffalo menyelar Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang melabel kematian ribuan nyawa di Gaza, Palestin ketika ini sebagai satu bentuk kerosakan akibat perang (collateral damage) sebagai tidak berperikemanusiaan.
Menurut Ruffalo, mangsa perang di Gaza tidak sepatutnya dilabel sedemikian dan rejim zionis seharusnya mempunyai rasa simpati daripada terus melakukan kezaliman tersebut.
“Maaf, mereka bukan ‘kerosakan akibat perang’ sebaliknya mereka adalah manusia yang dilahirkan dan menetap di Gaza, kebanyakan mereka terperangkap di sana.
“Tolonglah ada rasa simpati, mereka rakyat Palestin yang bernyawa, bukannya bangunan, jalan raya atau benda lain,” katanya dalam aplikasi X.
Tambahnya yang popular dengan watak Hulk, selain simpati terhadap nasib penduduk Palestin, mereka yang dalam tahanan atau tebusan juga tidak seharusnya dijadikan mangsa kezaliman zionis.
“Mereka adalah manusia, begitu juga tebusan yang nyawa mereka mungkin akan dimusnahkan oleh anda (zionis).
“Mereka bukan sebuah ‘kerosakan’, ujarnya.
Menerusi perkongsian sama, dia turut berkongsi pautan menyiarkan kenyataan Netanyahu yang disifatkan tiada belas kasihan kerana memandang kematian rakyat Palestin ketika ini hanyalah sebagai sebuah kerosakan akibat perang.
Sejak konflik bermula pada 7 Oktober lalu, angka kematian penduduk Palestin akibat bedilan zionis telah melepasi 11,100 orang setakat ini termasuk 8,000 kanak-kanak dan wanita seperti dilaporkan pejabat media pentadbiran Gaza. – HIBGLAM