Search, XPDC gegarkan Hari Rock Negara Edisi Selatan hari ini

DUA band rock otai, Search dan XPDC menjanjikan persembahan mantap pada malam kemuncak Hari Rock Negara Edisi Selatan yang berlangsung pada hari ini dan esok.

Konsert Search Voyage of Asia yang diadakan di Educity Sports Complex sudah bersiap sedia beraksi di hadapan ribuan peminat tegar rock yang bakal hadir dari seluruh negara.

Search yang dianggotai Denden Gonjalez selaku vokalis, Din (gitar), Kid (gitar), Yan (gitar bes) dan Minn (dram), masing-masing teruja apabila berpeluang kembali ke negeri kelahiran membuat persembahan.

Bagai sirih pulang ke gagang, Din atau Nordin Mohd. Taib, berkata
mereka teruja kembali beraksi di sebuah persembahan mega di ‘kampung’ sendiri sekali gus menjadi medan berhimpun dengan kaki rock termasuk dari Singapura.

“Tidaklah banyak kelainan pada persembahan itu nanti dari segi repertoire lagu, tetapi paling pasti kami mahu semua penggemar Search pulang dengan rasa puas hati.

“Bagi yang mungkin terlepas peluang menyaksikan konsert Rooftop di Kompleks Campbell tahun lalu inilah masanya untuk kita sama-sama mengulang momen tersebut.

“Disebabkan beraksi di negeri asal, Johor, mungkin ‘nakal’ itu akan lebih sikit, malah dari segi sistem bunyian dan sebagainya, kami akan pastikan berada dalam keadaan terbaik,” katanya.

PELBAGAI aktiviti diadakan sepanjang dua hari iaitu gerai jualan, pelancaran album, forum, kartun, rock, qasidah, wayang pacak dan acara Battle of The Bands.

Sebelum ini, Konsert Search Rockin’ On Rooftop di Kompleks Campbell pada 12 Jun 2022 yang juga penampilan pertama vokalis asal Indonesia bersama band tersebut menjadi sebutan, selain menggamit 3,000 penonton.

Sambutan memberangsangkan itu membawa Search menjelajah Pulau Pinang, Singapura dan Pahang sebelum berkongsi pentas dengan kumpulan Barbarik dalam Konsert Konsert Double Trouble 2 pada September lalu.

Zuar yang juga pemain bes XPDC pula berkata mereka yang dipertanggungjawabkan memanaskan pentas tetap memberikan aksi terbaik sepanjang 45 minit.

Katanya, persembahan yang bakal dibawakan nanti lebih kepada pembukaan kerana itu bukan konsert XPDC bersama Search yang juga mengikut perjanjian asal dengan penganjur.

“Ikutkan perjanjian begitulah senarionya, tapi itu tidak bermakna kami anggap penampilan pada konsert tersebut tidak penting kerana pada setiap acara pun XPDC tetap beri yang terbaik.

“Kita hanya borak sikit sahaja sebab penonton hendak fokus kepada Search dan disebabkan perjanjian sebegitu, maka tidak ada persembahan bersama Search. Apa yang dimahukan, itulah kami buat,” ujarnya.

Selain Zuar, anggota kumpulannya yang lain iaitu Ary selaku vokalis, Jeff (gitar) dan Amy (dram) juga turut menjanjikan aksi bertenaga supaya dapat memberi kepuasan maksima kepada peminat.

Sementara itu, wakil penganjur C&M Music Centre Sdn. Bhd, Adib Abdullah, berkata pihaknya menggunakan teknologi bunyi dan cahaya canggih bagi memberikan impak berganda kepada keseluruhan konsert.

“Pelbagai acara disajikan sepanjang dua hari acara yang menghimpunkan ramai kaki rock, malah kemuncaknya iaitu Konsert Search Voyage of Asia sebagai penutup dramatik.

Menjadi impian kami untuk bertindak sebagai perantara yang dapat menghubungkan komuniti peminat rock Malaysia supaya dapat berkumpul, berinteraksi dan berkongsi pendapat.

“Bermula tahun lalu, Hari Rock Negara membuktikan pentingnya landasan ini sebagai acara rock yang signifikan apabila mencatat lebih 16,000 pengunjung,” katanya.

Hari Rock Negara Edisi Selatan turut tampil dengan pelbagai aktiviti termasuk gerai jualan, pelancaran album, forum, kartun, rock, qasidah, wayang pacak dan acara Battle of The Bands.

Selain itu, penganjur bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO), Syria Care bagi membantu mengutip sumbangan untuk tabung Search XPDC Voyage of Asia for Palestin.

Majlis tahlil untuk Allahyarham Mael XPDC dan Yazid Search akan diadakan termasuk mendapatkan sumbangan bagi meringankan beban keluarga dua legenda rock itu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok