Salah lirik lagu Dawai, Ernie Zakri mohon maaf

PENYANYI Ernie Zakri tampil memohon maaf kerana tersalah lirik ketika mendendangkan lagu popular Indonesia, Dawai pada konsert Patah Hati 2.0 di Zepp Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Ernie, 31, dia mengakui kesilapannya dan menerima segala teguran netizen dengan hati terbuka.

“Pada hari konsert memang tiada prompter (skrin paparan lirik). Saya sedar sudah salah tetapi teruskan sahaja.

“Ketika diberi tugas oleh penganjur untuk menyanyikan lagu Dawai, memang tak dengar lagu ini secara keseluruhan dan tidak terlalu ‘familiar’.

“Sewaktu sesi rehearsal memang yakin dan semuanya okey kemudian pada hari konsert, jadi berulang kali pula (salah lirik),” katanya dalam TikTok.

Enggan memanjangkan hal tersebut, dia yang popular menerusi lagu Masing-Masing itu berulang kali memohon maaf kepada peminat lagu milik penyanyi Indonesia, Fadhilah Intan itu.

“Banyak komen netizen menyuarakan hal tersebut. Saya tahu ramai peminat lagu ini, jadi saya minta maaf sekali lagi.

“Kalau semua yang merasakan saya nyanyi salah, ya, memang silap saya sendiri. Kalau ada kesempatan untuk nyanyi lagu ini lagi, saya akan lakukan lebih baik,” katanya lagi.

Sejak semalam, video persembahan Ernie mendendangkan lagu Dawai tular dan kesalahan liriknya juga kerap kali dibangkitkan netizen.

Sekadar info, Dawai merupakan runut bungi bagi filem Indonesia, Air Mata di Ujung Sajadah lakonan Titi Kamal dan Fedi Nuril. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok