KISAH poligami pasangan pempengaruh, Aisyah Hijanah dan Alif Teega memasuki episod baharu apabila tular rakaman seorang wanita dipercayai isteri kedua dikenali sebagai Fatin Umaidah dalam media sosial.
Menerusi rakaman tersebut, Fatin dalam nada sebak meluahkan dirinya akan terus bersabar dengan dugaan yang perlu dihadapi untuk bahagia disamping lelaki dicintainya.
Apabila kita ‘struggle’, nak berhubung susah, saling hantar gambar. Kemudian, Allah SWT buka jalan, keluarga abang dan saya saling menerima.
“Jalan kita pilih ini tak mudah awak tetapi saya tahu kalau kita sama-sama kuat, kita akan benar-benar bahagia,” katanya.
Dia juga berkata tidak sabar untuk bergelar seorang isteri selain menzahirkan rasa cinta terhadap bakal suaminya.
Saya tak sabar nak jadi isteri awak. Saya rindu awak sangat-sangat.
“Saya sayangkan awak tau, jaga diri dan saya cintakan awak,” katanya lagi.
Difahamkan, semua itu dirakam sebelum Fatin mendirikan rumah tangga dan bergelar isteri kedua kepada Alif.
Selain rakaman suara, foto-fotonya bersama Alif turut tular termasuk swafoto bersama jambangan bunga dan memakai cincin di jari manis.
Terdahulu, hal rumah tangga Aisyah menjadi bualan ramai selepas Alif mengaku sudah berkahwin lagi dengan seorang wanita dipercayai staf di syarikatnya.
Pengakuan tersebut mencetuskan kemarahan ramai yang tidak bersetuju dengan cara Alif berpoligami ditambah pula Aisyah kini hamil lima bulan.
Rentetan itu, pelbagai hal lain turut terbongkar termasuk laporan perubatan mendakwa Aisyah dikasari suami sehingga mengalami kecederaan.
Aisyah menerusi Instagramnya hari ini bagaimanapun meminta orang ramai berhenti menyebarkan hal berkaitan rumah tangganya kerana bimbang akan memburukkan keadaan. – HIBGLAM