BERHIJAB sepenuhnya seminggu sebelum Ramadan lalu, aktres Julia Farhana mengakui melalui detik imannya berbolak-balik atau meronta-ronta melawan penghijrahannya.
Ternyata bukan mudah untuk istiqamah, apatah lagi apabila bergelar anak seni yang terdedah dengan 1,001 dugaan.
“Percayalah, fasa ini sangat sukar,” katanya memulakan bicara mengenai penghijrahannya baru-baru ini.
Pemilik nama penuh Julia Farhana Marin itu berkata, memakai tudung bukan sekadar menutup kepala tetapi merangkumi semua aspek sebagai seorang muslimah.
Akhlak, menutup aurat dengan sempurna dan menjaga pertuturan, itu antara aspek yang harus dititikberatkan selepas berhijab.
“Sejak berhijab, saya mula menyedari bahawa bertudung bukan hanya tentang ubah cara pemakaian.
“Perubahan itu harus mengubah seluruh gaya hidup seperti jaga solat, cara percakapan dan pergaulan. Banyak aspek yang terkait dan kalau lompong salah-satunya, orang akan mula pandang serong,” kata pelakon berusia 28 tahun itu.
Tambahnya yang berdarah campuran Melayu-Itali, sokongan suami tercinta, Dr. Che Hafiz banyak memberinya semangat agar hati terus kekal istiqamah dengan imej muslimah.
“Sejujurnya, perjalanan saya sejak memakai tudung sangat mencabar.
“Kalau tiada sokongan moral daripada suami, tak tahu apa yang jadi kepada saya sebab ketika ini dia adalah penyokong paling kuat selain selalu ingatkan tentang berkat kesabaran.
“Kekal istiqamah sangat susah. Saya pakai tudung seminggu sebelum Ramadan. Ketika itu masih dalam fasa iman masih kuat tetapi selepas itu terasa sukarnya ujian hijrah ini. Iman turun naik dan memang ada juga rasa rindu nak ‘buat’ rambut,” kongsinya.
Sambung pelakon filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang itu, selain sokongan tidak berbelah bahagi, suami turut menasihatinya agar mendekatkan diri dengan Tuhan dan mempelajari agama dengan lebih mendalam.
“Alhamdulillah dikurniakan seorang suami yang banyak mengajar dan membimbing saya ke arah kebaikan.
“Dia juga pesan, saya sudah berjalan sejauh ini dan jangan patah balik. Selalu di rumah dia akan ajak berzikir dan baca al-Quran bersama,” katanya.
Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online