HUJAN lebat tidak menghalang peminat tegar band Britain, Coldplay berkampung di Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan konsert Coldplay Music To The Spheres World Tour yang akan berlangsung sebentar lagi.
Rata-rata pembeli tiket tiba sejak awal pagi semata-mata ingin mendapat tempat paling dekat dengan pentas bagi mengikuti aksi ‘live’ band ulung dunia tersebut.
Seorang pengunjung dari Indonesia, Fauzan berhabis kira-kira RM2,700 semata-mata mahu menyaksikan Coldplay buat kali kedua.
“Saya beli tiket di Malaysia kerana tiket di Jakarta sudah kehabisan.
“Lagipun, tiket di Jakarta lebih mahal berbanding Malaysia.
“Harga tiket baru RM652. Saya berhabis RM2,688 termasuk kos penerbangan dan penginapan. Sama harga seperti tiket Coldplay di Jakarta,” katanya yang tiba di pekarangan stadium seawal pukul 11 pagi.
Fauzan yang hadir bersama isteri sebelum ini pernah menyaksikan konsert Coldplay di Bangkok pada tahun 2017, namun masih mahu menonton persembahan kumpulan terbabit buat kali kedua.
Sementara itu, seorang peminat tempatan, Amy Nurshafiq, 29, pula berharap pengunjung tidak banyak merakam video bagi menikmati persembahan Coldplay.
“Ini pertama kali saya menonton Coldplay sepanjang hidup saya.
“Jadi, saya mahu menghargai muzik mereka sejak era pertama hingga kini.
“Kalau betul peminat, cuba untuk menyanyi bersama dan jangan rekod sangat untuk layan muzik mereka,” katanya selaku penggemar tegar.
Amy yang datang bersama isteri dari Subang tiba sekitar pukul 11 pagi biarpun mengetahui pintu masuk hanya dibuka pukul 5 petang.
Mengikut jadual, persembahan pembukaan membabitkan artis tempatan, Bunga akan bermula pukul 7.45 malam sebelum pentas mega itu dihangatkan Coldplay sejam kemudian.
Kemunculan Chris Martin bersama Guy Berryman, Johny Buckland dan Will Champion sememangnya dinantikan 85,000 penonton yang membeli tiket sejak Mei lalu.- HIBGLAM