BERIKUTAN kelantangannya bersuara mengenai keganasan tentera Zionis terhadap rakyat Palestin dalam media sosial, model terkenal Bella Hadid dilaporkan telah dipecat daripada menjadi duta syarikat kosmetik antarabangsa, Dior.
Menurut laporan media tempatan, Dior kemudiannya telah menggantikan posisi Hadid dengan model kelahiran Israel bernama May Tager.
Pemecatan Bella sekali gus menyaksikan wajah model berdarah Palestin itu tidak lagi menghiasi iklan terbaharu Dior yang mempromosikan wangian, Parfum La Collection Privee untuk koleksi musim sejuk akan datang.
“Walaupun banyak perusahaan di seluruh dunia menahan diri untuk tidak menunjukkan sokongan terhadap Israel secara terbuka, namun Dior telah memilih model Israel, May Tager untuk meneruskan kempen yang sebelum ini dipegang Bella Hadid,” tulis laporan oleh media Israel, Al Bawaba.
Berita pemecatan model berusia 27 tahun itu yang tersebar luas telah menarik perhatian penduduk seluruh dunia apabila orang ramai mula melancarkan kempen memboikot jenama tersebut dengan menggunakan tanda pagar #BoycottDior dalam media sosial.
“Jika kamu ingin ‘menghidu’ kematian, pakailah barangan Dior. #BoycottDior,” tulis seorang pengguna aplikasi X.
“Boikot Dior! Jenama itu telah menggantikan Bella Hadid yang memiliki 60 juta pengikut dalam media sosial, dengan seorang model Israel yang tidak dikenali,” tulis seorang lagi pengguna aplikasi X.
“Boikot Dior kerana jenama itu menyokong pembunuhan beramai-ramai di Gaza,” tulis seorang netizen.
Bagaimanapun, sehingga kini baik Hadid mahupun Dior belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara tersebut.
Sebelum ini, Hadid atau nama sebenarnya Isabella Khair Hadid mendedahkan ada menerima mesej ugutan daripada pelbagai pihak selepas nombor telefon peribadinya tersebar.
Perkara itu menyebabkan Hadid sering diganggu sehingga keselamatan diri serta keluarganya terancam.
“Saya menerima ratusan ugutan bunuh setiap hari selepas nombor telefon disebarkan. Malah, keluarga saya juga diancam dan berada dalam bahaya,” ujarnya. – HIBGLAM