KEMBALI mencetuskan kontroversi apabila menarik rambut pengacara sensasi Azwan Ali, usahawan Datuk Seri Aliff Syukri berharap orang ramai tidak mendengar infomasi berkenaan insiden di Singapura itu daripada sebelah pihak sahaja.
Aliff berkata, kejadian di sebuah majlis yang disaksikan ramai tetamu itu dicetuskan Azwan atau Diva AA.
“Saya profesional walaupun terkejut penganjur mengundang dia.
“Pada awalnya saya tak tahu dia ada (kerana) saya dah bagi tahu pihak penganjur saya tidak senang dengan dia.
“Dia yang mulakan dulu, sebab itu saya bertindak (tarik rambut). Saya takkan buat kalau dia tak kacau. Mohon jangan dengar sebelah pihak,” katanya dalam Instagram.
Pada masa sama, Aliff turut memberi amaran kepada pelawak Shuk Sahar supaya jangan memprovokasi mahu pun mengajukan video berkaitan Diva AA kepadanya.
Menurut ahli perniagaan itu, tindakan sedemikian boleh memburukkan lagi keadaan, sedangkan dia bukan individu yang suka bergaduh.
Begitupun, dia tetap memuat naik semula video Azwan dalam hantaran Instagramnya.
Terdahulu, tindakan Aliff menarik rambut Azwan dikatakan hanya untuk segmen persembahan, tetapi usahawan tersebut didakwa sengaja berkasar sehingga selebriti sensasi itu mengamuk.
Video kejadian yang tular itu dikongsikan Shuk, sekali gus mengundang sindiran netizen apabila rata-rata menganggap kedua-dua personaliti itu sekadar membuat konten laman sosial.
Apatah lagi mereka juga sinonim dengan pelbagai gimik demi menarik perhatian ramai biarpun sedar bakal berdepan kecaman.
“Datuk (Aliff) dengan AA sesuai dihantar ke Palestin biar askar Zionis takut tengok,” kata seorang netizen.
“Kuat sangat propa, satu hari kalau Datuk betul-betul nazak netizen sudah nak percaya,” luah pemilik akaun lain. – HIBGLAM