Minggu ‘funfair’ Tok Ram tiada penyingkiran, Nikki terselamat

PENYANYI Nikki Palikat menarik nafas lega kerana terselamat selepas menjadi bintang yang menduduki tangga tercorot dalam Konsert minggu kelapan All Stars Gegar Vaganza (GV10) sebentar tadi, sekali gus menyaksikan tiada peserta yang diumumkan tersingkir.

Keputusan tersebut sekali gus menyaksikan kesemua sepuluh bintang layak untuk beraksi di konsert minggu kesembilan pada minggu hadapan.

Konsert minggu kelapan yang bersiaran secara langsung di Dewan Auditorium MBSA telah menyaksikan Aliff Aziz menduduki tangga pertama dengan menyampaikan lagu Cik Mek Molek, nyanyian asal Datuk M. Daud Kilau.

Tempat kedua pula menjadi milik Naqiu yang menyanyikan lagu Kuda Hitam oleh penyanyi asal, Hetty Koes Endang, disusuli Tomok yang menyampaikan lagu Apa Dah Jadi, nyanyian asal oleh Tan sri SM Salim.

Bintang lain yang turut mara adalah Hardy Mirza, Jaclyn Victor, Siti Nordiana, Azharina dan Noryn Aziz.

Sebelum ini, Suki Low, Cliff Umar, Datuk Aishah, Ayai Illusi, Zamani dan Ezad lazim merupakan peserta terawal yang sudah meninggalkan GV10.

Rancangan popular berkenaan menyaksikan kesemua bintang diadili oleh juri profesional iaitu Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok