Mega! Konsert Aina bertaraf antarabangsa

PERSIS penyanyi antarabangsa!

Demikian gambaran tepat aksi penuh kreativiti penyanyi Aina Abdul menerusi Konsert A Night With Aina Abdul 3.0 di Axiata Arena, Bukit Jalil yang menghimpunkan lautan manusia pelbagai lapisan usia hujung minggu lalu.

Tepat pukul 9 malam, kemunculan susuk Nurul Aina Abdul Ghani di pentas disambut dengan jeritan 10,000 peminat yang lama menantikan malam bersejarah itu berlangsung di depan mata mereka.

Pastinya mereka bukan sekadar ingin menikmati vokal si penyanyi malah teruja menantikan fesyen dibawa idola mereka itu kerana khalayak tahu, bukan Aina Abdul namanya jika berpenampilan ala kadar dalam sesebuah persembahan.

Tampil menguasai pentas mengekalkan imej ‘avant-garde’ yang cukup sinonim dengan dirinya, anak seni kelahiran Johor itu mengenakan enam busana mega sepanjang konsert.

MENGENAKAN enam busana eksklusif, usaha dan kreativiti Aina menampakkan kesungguhannya menjadi anak seni berkualiti dan selayaknya menjadi penanda aras buat mana-mana penyanyi baharu lain.

Bertemakan Journey of Aina Abdul, konsert mega tersebut menyaksikan penyanyi bertubuh genit itu mempamerkan kemahiran melantunkan deretan lagu pelbagai genre, termasuk tradisional, rancak dan galau.

Repertoire persembahan dimulakan dengan segmen lagu ciptaan sendiri iaitu Ghost, Fool, Kelip-Kelip dan Kamu, diikuti dengan lagu yang membuat seluruh penonton melompat seperti Bleed, Blue, Shadow dan Sumpah.

Pemenang Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) itu mempersembahan sebanyak 34 dendangan, termasuk seleksi daripada album terbaharunya, Imaji dan beberapa lagu ‘cover’ penyanyi lain.

Diiringi barisan pemuzik orkestra dan band bawah pimpinan pengarah muzik tersohor, Mac Chew dibantu Jenny Chin, Aina meneruskan segmen kedua dengan alunan melankolik seperti Bilang, Bukan Untukku dan Sedia Terluka.

Bayangkan ketika ini, gaun kembang berwarna biru dipakai penyanyi bernada tinggi itu tiba-tiba mengeluarkan asap dan bunga yang bergerak-gerak menggandakan impak persembahan pada lagu balada seperti Sesal, Sepi dan Nada Kalbu.

Lantas, stadium yang sudah sedia bergema dengan ‘sing along’ peminat yang menghafal dengan semua lirik sekali lagi gemuruh tepukan dek keterujaan melihat gaun eksklusif tersebut yang memberi nilai tambah kepada konsert.

GANDINGAN mantap Aina bersama sahabatnya, Khai Bahar menerusi lagu Nafas Cinta. 

Kesungguhan Aina dalam memastikan penampilan serba sempurna selayaknya dipuji.

Jadi tidak hairan dia memperuntukkan sekitar RM400,000 untuk lima pasang busana eksklusif sepanjang konsert.

Tidak terhenti di situ, momentum aksi dimantapkan lagi persembahan duet bersama Khai Bahar yang memarakkan adrenalin penonton sebaik mendendangkan lagu wajib kenduri kahwin berjudul Nafas Cinta.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok