PUTERI sulung kepada penyanyi Nourul Depp, Ayu Nazirah meminta orang ramai berhenti menyebar fitnah dan menyalahkan aktres, Datin Maria Farida sebagai punca pergaduhan dengan ibunya.
Menurut Ayu, konfliknya dengan Nourul sudah berakhir apabila dia sudah memohon maaf namun kecewa apabila segelintir pihak menuduh Maria yang merupakan ibu kepada teman lelakinya sebagai punca keretakan hubungannya dengan ibu kandung.
“Baru-baru ini bapa saya ada ditemu bual mengenai isu tersebut tetapi salah satu media menulis tajuk yang salah. Jadi, saya nak betulkan keadaan.
“Ya, memang ada pergaduhan dengan ibu tetapi saya sudah meminta maaf. Di sini, saya nak jelaskan bahawa Datin Maria bukan penyebab (perbalahan) tersebut,” katanya dalam sebuah video Instagram.
Tambahnya, setiap perkara yang berlaku antara dia dan Nourul adalah bersifat peribadi dan meminta orang ramai memberi ruang yang sewajarnya kepada mereka.
Dia juga meminta pihak media berhenti daripada menulis sebarang kenyataan yang tidak benar mengenai konflik tersebut selain menuduh individu tidak bersalah.
“Semua yang terjadi biarlah hanya antara saya dan ibu. Harap semua dapat menghormati perkara tersebut.
“Saya juga minta mana-mana platform media berhenti menyebarkan fitnah dan menuduh seseorang yang tidak bersalah kerana Datin Maria sangat baik dengan saya.
“Tolong hentikan segala dakwaan mengarut berkaitan isu ini. Saya dan ibu sudah berbaik dan harap kami dapat teruskan hidup dengan ruang privasi yang sepatutnya,” jelasnya.
Baru-baru ini, bapanya yang juga komposer terkenal, Ajai dalam satu temu bual mendedahkan hubungan Ayu dan bekas isterinya, Nourul sudah kembali pulih serta menganggap situasi tersebut adalah normal.
Terdahulu, Nourul yang terkenal menerusi lagu Kerana Terluka mengakui wujud konflik dan perselisihan faham antara dia dan anaknya yang berusia 23 tahun itu menyebabkan dirinya terasa hati.
Dia juga pernah menyatakan masalah dalaman keluarganya dapat diselesaikan dengan baik tanpa urusan campur tangan mana-mana pihak.
Perkara itu mencetuskan tanda tanya ramai sehingga timbul dakwaan Maria yang ketika itu rapat dengan Ayu merupakan punca konflik tersebut. – HIBGLAM