Maaf! Saya beli beg mewah guna duit sendiri – Watie Hanifiah

ISTERI kepada pelawak juga penyampai radio, Shuib, Watie Hanifiah mempertahankan diri selepas penampilannya masih dibanding-bandingkan dengan Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin, selain ditegur kerap bergaya dengan barangan mewah.

Menerusi komen yang ditinggalkan seorang netizen dalam Instagram, Watie atau nama sebenarnya Nikmatul Adawiyah Hanifiah, 35, ditegur kerana dikatakan berpakaian tidak mengikut syarak sebagai seorang wanita Muslim, sekali gus dibanding dengan pembawaan diri isteri pertama Shuihb yang telah meninggal dunia.

“Maaf Watie, kalau arwah Siti Sarah, pakai tudung tutup dada, tak beli beg mahal,” kata seorang pengguna Instagram.

Enggan berdiam diri, Watie membalas komen tersebut apabila mengakui penampilannya belum cukup sempurna namun dalam masa sama tidak menidakkan teguran netizen itu.

Pada masa sama, Watie turut memaklumkan segala barangan mewah yang digayakan dibeli menggunakan wang sendiri bukannya duit suami semata-mata.

“Bab aurat saya tahu mungkin ada banyak kekurangan.

“Tapi kalau soal beli beg mahal, maaf nak cakap, saya beli 100 peratus dengan pendapatan sendiri,” katanya.

Ujar Watie, membeli barangan mewah dianggap sebagai terapi dengan menghadiahkan diri sendiri dengan barangan yang disukai selepas bekerja keras.

“Itu adalah cara saya untuk ‘rewards’ (hadiahkan diri sendiri),” jelasnya.

Pada masa sama, netizen itu turut mempersoalkan pendekatan Watie yang dilihat kerap tampil berpakaian sedondon dengan anak-anak tirinya, terutama ketika keluar bercuti atau bersantai.

Balas Watie, tampil memakai pakaian sama dengan mereka (anak-anak tiri) adalah caranya dalam menguruskan rumah tangga.

“Bab pakaian anak-anak, itu adalah cara saya dalam menguruskan rumah tangga. Harap awak dapat terima penjelasan saya,” balasnya.

Pun begitu, ramai juga dalam kalangan netizen mempertahankan Watie apabila menggesa pihak tersebut supaya berhenti membandingkan wanita itu dengan arwah Siti Sarah.

“Cukup menyampah dengan orang yang suka membanding-bandingkan dengan arwah. Kenapa?” kata seorang netizen.

“Teruskan jadi diri sendiri. Abaikan mereka yang mengutuk. Apa yang penting awak tidak rampas suami orang,” tegur seorang lagi pengguna instagram.

Terdahulu, Shuib mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Allahyarham Siti Sarah Raissuddin pada 2011, namun Allahyarham meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 akibat jangkitan Covid-19.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan, 2. Shuib berkahwin dengan Watie pada pada Jun 2023 seteklah mendapat restu daripada semua pihak termasuk anak-anaknya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok