HAMPIR tujuh bulan mendirikan rumah tangga, pelakon Lee Da-in dilaporkan hamil hasil perkongsian cinta dengan aktor Lee Seung-gi.
Berita baik itu disahkan agensi pelakon jelita itu, 9 Ato Entertainment selain meminta peminat mendoakan yang terbaik buat pasangan merpati dua sejoli yang bakal bergelar ibu bapa itu.
“Dengan rasa gembira kami ingin memaklumkan Lee Da-in bakal bergelar ibu kerana sedang hamil anak pertama.
“Da-in kini menumpukan perhatian sepenuhnya kepada kandungan serta kondisi kesihatannya dan akan berehat sebentar daripada dunia lakonan.
“Kami memohon jasa baik anda semua terutama peminat untuk memberikan sokangan dan doa berterusan buat Da-in dan suaminya, Seung-gi,” jelas agensi tersebut.
Lee Da-in mendedahkan percintaannya secara terbuka dengan penyanyi dan pelakon Lee Seung-gi pada 24 Mei 2021 dan tidak lama kemudian pasangan popular itu berkahwin pada April 2023.