MESKI diperlekeh segelintir netizen kerana menjadi artis pembuka tirai konsert Coldplay baru-baru ini, penyanyi Bunga Isme bagaimanapun menyifatkan peluang itu sebagai pencapaian bermakna buat dirinya serta keluarga.
Pemilik nama sebenar Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari, berkata momen bersejarah tersebut merupakan hadiah buat individu penting dalam hidupnya iaitu ibu tercinta yang selama ini menjadi penguat semangat tatkala berdepan kecaman.
“Tak banyak perkara mengenai keluarga yang saya kongsikan kepada umum tapi hari ini, terkecuali.
“Dari kecil lagi, mama tak pernah berhenti memberikan yang terbaik kepada 11 anaknya demi menjadikan kami orang berguna, tahu asal usul, yang tahu siapa nilai diri kami.
“Susah berliku-liku yang kami lalu, hinaan yang dibaling bertubi-tubi, telah pun kami telan dan lali, menjadikan kami lebih kuat, kuat seperti mama.
“Pencapaian apa pun, terima kasih berapa banyak pun, tidak sama nilainya dengan rasa penat yang mama korbankan, demi kami, anak-anak mama,” katanya menerusi perkongsian dalam Instagram.
View this post on Instagram
Menurut rapper berusia 23 tahun itu, usaha insan kesayangan yang tidak pernah jemu mendaftarkan dirinya menyertai pelbagai pertandingan nyanyian menjadi pembuka laluan berada di posisi sekarang.
“Ketika berusia 12 tahun, bercita-cita nak jadi penyanyi, mama masukkan ke uji bakat Idola Kecil, kami bayar bilik karaoke Alamanda Putrajaya untuk berlatih lagu uji bakat, Muka Buku nyanyian Najwa Latiff tapi tiada rezeki untuk ke peringkat seterusnya.
“Rupa-rupanya, hari itu titik permulaan seorang Bunga yang berjaya merentasi pentas lain seperti U Try Rap Please, 16 Baris, Anugerah Juara Lagu sehingga pentas Coldplay sebagai artis pembuka tirai.
“Ini semua kerana mama. Terima kasih mama. Ayu sayang mama dunia dan akhirat selamanya,” katanya lagi.
Perkongsian Bunga mendapat respons pengikut yang berbangga dengan pencapaiannya selain memuji persembahan pada konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour, 22 November lalu.
Sebelum ini ada pihak melemparkan rasa tidak puas hati apabila nama penyanyi muda terbabit diumumkan sebagai artis pemanas pentas band ikonik itu di Stadium Nasional Bukit Jalil atas alasan masih baharu. – HIBGLAM