Lagu perlu ada rasa – Kugiran Masdo

PADA awal kemunculan, keberadaan Kugiran Masdo yang menghidangkan muzik era 1960-an pernah dipertikaikan ramai sehingga ada yang menidakkan kemampuan kumpulan tersebut.

Hari demi hari, lagu-lagu hasil tulisan serta dendangan kumpulan yang dianggotai Ali Sariah selaku vokalis, Azham Ahmad (dram), Putu Ceri (bass) dan Asmawi (gitaris) berjaya meruntuhkan tembok stereotaip industri muzik tempatan.

Luncurlah apa sahaja lagu, pasti akan menjadi siulan ramai dan berjaya menembusi corong-corong radio sehingga mengungguli carta muzik tempatan.

Paling menjadi fenomena sehingga hari ini ialah lagu Dinda yang dilancarkan sekitar tahun 2019. Paling membanggakan, lagu tersebut berjaya menembusi pasaran muzik Indonesia dan menjadi kegilaan pencinta muzik di sana. Begitulah penangan muzik ‘old school’ Kugiran Masdo.

Kugiran Masdo bersyukur dengan kejayaan diraih terutama menerusi lagu Dinda yang menjadi siulan ramai bukan sahaja di Malaysia tetapi turut digilai di Indonesia.

Tidak mendabik dada dengan kejayaan yang dikecapi hari ini, Ali memberitahu tidak pernah meletakkan sebarang sasaran sebelum melancarkan sesebuah lagu apatah lagi menjadikan populariti sebagai deras motivasi.

Katanya, tiada ramuan istimewa digunakan dalam karya-karya ciptaan mereka yang tular dan menjadi kegilaan ramai hari ini.

“Hendak kata magis atau ramuan khas untuk setiap lagu memang tiada tetapi kami mementingkan soal rasa.

“Sebagai penulis lirik dan komposer, apabila hasilkan lagu sendiri, perlu ‘rasa’ emosinya dahulu. Jika elemen itu tidak wujud, maka tidak berjayalah karya tersebut,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Bercerita lanjut, selain jiwa dan rasa, mesej yang diketengahkan dalam setiap lagu juga memainkan peranan penting bagi memastikan karya dihasilkan tidak lapuk ditelan dek zaman.

Elemen atau suntikan malar segar juga antara yang dititikberatkan oleh Masdo yang mula mencipta nama sejak tahun 2015 itu.

“Kebanyakan lagu kami berkisarkan tentang kehidupan dan hubungan percintaan zaman muda-mudi.

“Barangkali mungkin itu yang membuatkan peminat tersentuh dan dapat kaitkan dengan diri sendiri sehingga menyebabkan lagu tersebut bertahan lama selain menepati kriteria ‘evergreen’ (malar segar),” ujarnya.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok