Konsert Noah perpisahan termanis

KONSERT Noah Menemaniku Kuala Lumpur pada 11 November lalu membuktikan band dari Indonesia itu antara yang paling berpengaruh di Malaysia.

Ini dapat dibuktikan menerusi kehadiran hampir 6,000 peminat membanjiri Mega Star Arena, Sungei Wang bagi menyaksikan band kegemaran mereka beraksi.

Sepertinya mereka yang hadir hanya menantikan sebuah hadiah perpisahan termanis daripada Noah sebelum kumpulan itu berehat panjang bermula awal tahun depan. Begitu juga yang penulis rasakan pada hari tersebut.

Ternyata, kotak harapan tersebut berjaya diisi dengan memori manis sepanjang dua jam menyaksikan persembahan daripada kumpulan yang dianggotai Ariel selaku vokal utama, Lukman (gitaris) dan David (keyboard) pada malam tersebut.

Ariel berjaya membuatkan peminat terus ‘cair’ dengan vokal hebat dan persembahan bertenaganya.

Pada malam persembahan, Ariel membuka pentas menerusi lagu Topeng daripada album Taman Langit yang diterbitkan sekitar tahun 2003. Waktu itu, kugiran tersebut masih dikenali sebagai Peterpan.

Keterujaan penonton diteruskan dengan hidangan lagu Separuh Aku, Di Atas Normal, Walau Habis Terang dan Menemaniku.

Ariel juga sempat ‘terbang’ dengan menaiki belon panas ketika mempersembahkan lagu Di Balik Awan. Lagu berkenaan dihasilkan sepenuhnya oleh lelaki itu sekitar 2007.

Seakan tidak dimamah usia, energi yang dipamerkan Ariel pada malam tersebut harus dilayangkan pujian jika  dibandingkan dengan persembahannya di Zepp Kuala Lumpur tahun lalu kerana waktu itu, dia mengalami masalah kesihatan.

Ketika mendendangkan lagu baharunya, Suara Dalam Kepala, penonton dikejutkan dengan kemunculan penyanyi rap popular Joe Flizzow di pentas.

Gandingan mantap Ariel dan Joe Flizzow menarik perhatian peminat.

Kehadiran Joe sebelum menutup babak pertama ibarat menyuntik nafas baru sekali gus dilihat sebagai percubaan untuk ‘tersasar’ sedikit daripada identiti muzik Noah.

Memasuki segmen kedua, Ariel yang berada di pentas utama tiba-tiba mengejutkan ramai apabila muncul di kawasan tempat duduk penonton di bahagian atas sebelum meneruskan persembahan di ruangan sekitar itu.

Menerusi persembahan di ruang kecil itu, Ariel mendendangkan Bintang Di Surga, Yang Terdalam, Tak Lagi Sama dan Semua Tentang Kita secara akustik.

Ariel pada malam tersebut sempat membuat hati peminat wanitanya cair apabila muncul dengan nyanyian romantis bagi lagu Ini Cinta bersama penonton bertuah.

Rata-rata penonton tidak berhenti bersorak dan menjerit dalam nada ‘cemburu’ apabila melihat renungan dan pelukan istimewa diberikan Ariel kepada seorang wanita yang dijemput naik ke pentas.

Terus meninggalkan memori manis, Noah muncul dengan medley lagu-lagu popularnya iaitu Mimpi Yang Sempurna, Taman Langit dan Menghapus Jejakmu.

Lagu paling dinanti-nanti ramai, Ariel menutup persembahan dengan karya legenda mereka iaitu Mungkin Nanti.

Memang tiada lagu lain yang boleh menggantikan kehebatan Mungkin Nanti. Sehingga hari ini masih menjadi siulan ramai walaupun usia lagu tersebut sudah mencecah 20 tahun.

Sesekali terlihat ada peminat yang menyeka air mata ketika lagu berkenaan dimainkan. Begitulah penangan Mungkin Nanti yang mempunyai nilai sentimental dalam hidup peminat Noah.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok