Ji Chang-wook si raja aksi

MEMULAKAN karier lakonan pada 2006, kredibiliti dan versaliti lakonan Ji Chang-wook, 36, tidak dapat disangkal lagi. Disua watak cinta, aksi sehinggalah karakter antagonis, semuanya digalas cemerlang tanpa kelihatan kaku mahupun kayu.

Kemenjadian lakonan dalam filem aksi barangkali menjadi penyebab mengapa aktor tinggi lampai itu seringkali ditawarkan watak melihatkan seni mempertahankan diri dan karakter yang menuntutnya menggunakan fizikal untuk bertarung.

Selepas berjaya meraih perhatian menerusi filem Fabricated City yang sarat aksi ngeri, Chang-wook kembali menjadi topik popular apabila muncul dengan siri Disney+ berjudul The Worst of Evil.

Mengakui berbeza daripada pengalaman karya terdahulu, Chang-wook berkata, The Worst of Evil mempunyai keistimewaan tersendiri selain berdepan kesukaran yang paling tinggi untuk menjayakan watak supaya kelihatan semula jadi.

Chang-wook membuktikan kemampuannya membawakan pelbagai karakter namun paling menyerlah dengan watak aksi dan berat sehingga menjadi rebutan ramai penerbit serta pengarah.

Meskipun pernah menggalas watak aksi berat sebelum ini, Chang-wook mengakui watak polis perisik bernama Park Jun-mo antara tanggungjawab paling sukar untuk dijayakan selain perlu mengekalkan tahap ketegangan lakonan tinggi sepanjang pengambaran.

“Saya menggunakan banyak teknik lakonan bersulam kekuatan emosi untuk mengekalkan ketegangan dalam cerita ini dan bagaimana untuk membantu watak lain kelihatan tidak dibuat-buat.

“Mengekalkan ketegangan aksi dalam watak adalah sukar tetapi menarik. Terdapat sempadan emosi yang sangat halus antara perjuangan politik dan hubungan kompleks dalam watak dan hubungan peribadi setiap watak.

“Watak ini sangat kompleks, saya pada awalnya hampir menolak untuk menjayakan naskhah ini, namun apabila difikirkan, kerumitan dan nuansa dalam karya ini sangat menarik untuk dieksplorasi,” ujarnya.

 

Tambah Chang-wook lagi, The Worst of Evil merupakan karya aksi thriller jenayah berdasarkan naratif sarat isu yang menuntut dirinya untuk keluar dari zon selesa.

Justeru, aktor itu sedaya upaya berusaha menjayakan watak diberi selain percaya kepada kredibiliti pasukan produksi yang sedikit sebanyak dapat membantunya menyampaikan lakonan yang berkesan.

“Saya mempunyai jangkaan tinggi untuk bekerja dengan pasukan, kerana mereka telah melakukan projek serupa sebelum ini dan hasilnya cukup cemerlang.

“Sudah agak lama saya tidak bawa watak aksi, memang terlalu sukar untuk mengekalkan emosi secara keseluruhan serta ketegangan dalam pembentukan watak kerana ini adalah siri dan bukan filem dua jam.

“Saya cuba menggambarkan Jun-mo sebagai watak dinamik tiga dimensi dan menunjukkan transisi bagaimana karakter tersebut berubah sehingga emosinya hancur lebur,” ujarnya,

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok