“Betul, saya ada banyak kerjasama dengan jenama antarabangsa tetapi kenapa saya perlu takut?
Demikian kata pelakon dan ikon fesyen, Scha Al Yahya yang tidak takut bersuara demi membela nasib rakyat Palestin meskipun menyedari keterbukaannya bakal menjejaskan kontrak sedia ada dengan jenama antarabangsa.
Pemilik nama penuh Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya itu bagaimanapun berpendapat sokongan yang ditunjukkan masih bertapis.
“Saya faham perkara ini berkaitan sensitiviti tetapi kita duduk di negara Islam, jika pihak lain tidak senang dengan kelantangan saya memperjuangkan Palestin, itu salah mereka sebab logiknya kita ini negara Islam.
“Paling utama, boleh tunjukkan sokongan tetapi jangan menghentam terlalu kasar, kena tahu batas, perlu tahu macam mana nak cakap, benda tu yang penting,” kata Scha kepada Kosmo! Online.
Ditanya sama ada jenama memberi respons terhadap kelantangannya, aktres berusia 40 tahun itu mengakui perlu ada komunikasi dan toleransi dengan pihak terbabit.
“Ada jenama yang sensitif, tetapi kadangkala ada yang terlupa macam suruh hadir sesuatu acara, saya nyatakan kurang selesa dan masanya tidak tepat dengan situasi sekarang.
“Apa yang penting, komunikasi antara kedua-dua pihak dan nampaknya mereka sangat memahami.
“Bagi saya, kita kena bijak, perlu ada toleransi dan kerjasama agar semua puas hati. Mujur rata-rata yang kerja dengan saya selalunya faham,” jelasnya ketika ditemui di majlis sidang media pengenalan peserta HeroDewi Remaja 2023, semalam.
Ditanya tentang pendapat mengenai rakan sepejuangan yang takut berkongsi mengenai Palestin atas alasan bimbang kehilangan tawaran kerja, isteri kepada Awal Ashaari itu percaya rezeki datang daripada Allah.
“Kita bertuah kerana dilahirkan di Malaysia yang majoriti rakyatnya beragama Islam. Jadi mereka (jenama) tahu kepercayaan kita.
“Tak perlu rasa takut, Allah yang beri rezeki, inysa-Allah,” ujarnya.
Selain ibu kepada dua cahaya mata itu, ramai selebriti lain jitu mempertahankan Palestin termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Neelofa, Zulin Aziz dan Daiyan Trisha.
Konflik Palestin-Israel bermula pada 7 Oktober lalu selepas pejuang Hamas melancarkan lebih 5,000 roket ke Israel sebelum rejim Zionis melancarkan kempen serangan udara dan disusuli serangan darat di Gaza.
Tentera Israel membalas dengan melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas Gaza yang menurut sebilangan pegawai perubatan, telah membunuh lebih 8,000 penduduk Palestin, manakala separuh daripada mereka ialah kanak-kanak.
Terbaharu, kebimbangan terhadap nasib lebih 2.2 juta penduduk yang tinggal di Gaza semakin meningkat apabila Israel meneruskan ‘fasa kedua’ perangnya untuk menghapuskan kumpulan Hamas. – KOSMO! ONLINE.