Hanya juara mingguan layak ke kemuncak FD3

TIDAK seperti musim terdahulu, pentas akhir Famili Duo musim ketiga (FD3) yang akan berlangsung minggu hadapan menyaksikan hanya tiga pasangan duo berentap merebut gelaran juara.

Penerbit Eksekutif FD3, Muhammad Sufian Che Isa berkata, keputusan pemilihan finalis pada pertandingan separuh akhir dibuat berdasarkan kemenangan duo terbaik yang pernah bergelar juara konsert mingguan.

PASANgan adik-beradik, Sharif dan Syaiful.

“Kami memilih berdasarkan kepada duo yang pernah memenangi juara mingguan iaitu Adira dan Emma menang dua kali sama seperti Haqiem Rusli dan Ariff Bahran, manakala Sharif dan Syaiful Zero tiga kali.

“Kalau kita pilih empat duo, tapi duo tersebut belum pernah menjadi juara mingguan, kami berasa perkara itu agak kurang adil.
“Jadi, sebab itu hanya tiga pasangan layak ke final sebab kita memilih berdasarkan duo yang pernah menjadi juara mingguan sahaja,” katanya sidang media usai konsert separuh akhir FD3, Ahad lalu.

Jelas suami kepada penyanyi Mas Idayu itu lagi, keputusan tersebut bukan dilakukan pihak produksi pada malam tersebut, namun telah diputuskan awal sewaktu perbincangan sebelum bermulanya konsert separuh akhir FD3.

“Kami telah berbincang beberapa pilihan, kalau berlaku begini apa akan jadi dan kalau berlaku sebaliknya pula apa akan jadi?

“Keputusan malam ini adalah berdasarkan kebarangkalian yang berlaku.

“Kalau Adira dan Emma menjadi juara mingguan, hanya tiga layak ke final. Tapi kalau Tom dan Fuad Rahman yang menjadi juara mingguan pada konsert separuh akhir tadi, mungkin empat duo ke final sebab mereka juga pernah menjadi juara mingguan.

“Tapi bukan rezeki mereka untuk menjadi juara mingguan.

“Sekiranya Ryan dan Adam Bakery serta Shila dan Syahir Amzah menang, itu tidak bermakna mereka akan ke peringkat akhir kerana kedudukan mereka agak jauh dengan peserta yang lain,” jelasnya panjang lebar.

Tiga pasangan duo yang mara ke malam kemuncak program realiti itu pada Ahad depan adalah pasangan adik-beradik Sharif dan Syaiful Zero (adik-beradik), Haqiem Rusli dan Ariff Bahran (sepupu), serta Adira dan Emma Suhaimi (adik-beradik).

PENYANYI Adira dan adiknya, Emma juga layak ke final FD3.

Sementara tiga peserta dengan jumlah markah terendah iaitu pasangan suami isteri Fuad Rahman dan Tom, serta dua lagi duo adik-beradik, Ryan dan Adam Bakery, serta Shila dan Syahir Amzah tidak berjaya meloloskan diri ke peringkat akhir.
Minggu akhir FD3 nanti bertemakan Bebas, Vokal Berkumpulan dan Duo Popular.

Program realiti membabitkan pasangan yang mempunyai pertalian kekeluargaan terbitan TV3 itu mula bersiaran sejak 15 Oktober lalu.

Persaingan selama lapan episod memilih pemenang mingguan bersandarkan pemarkahan juri sebanyak 70 peratus, manakala undian dalam talian Tonton membabitkan markah 30 peratus.

Minggu depan, tiga pasangan duo bakal merebut takhta juara FD3 yang menawarkan hadiah berjumlah RM100,000.

DUO Haqiem Rusli dan Arif Bahran.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok