Gitar Eross SO7 terjual RM11,000, masuk tabung Palestin

GITAR milik gitaris ahli kumpulan Sheila On 7 (SO7), Eross Candra, dibida pada harga RM11,000 ketika Konsert Tombo Aji Ridha Ilahi- Opick Dan Sakti Live In Kuala Lumpur, malam tadi.

Istimewanya, instrumen tersebut turut mempunyai tanda tangan Eros selain bekas anggota SO7, Salman Al-Jugjawy atau dikenali sebagai Sakti dan penyanyi Opick.

Pada awalnya, lelongan gitar tersebut dibuka pada harga RM3,000 sebelum dibida pengurus kepada Fazura iaitu Iman Tang sehingga mencecah RM11,000.

Difahamkan, kesemua hasil lelongan disumbangkan ke tabung Palestin untuk membantu rakyat Gaza.

“Alhamdulillah, syukur. Ini bukan satu takdir harga bidaan RM11,000 sama seperti tarikh hari ini iaitu pada 11 November,” kata Salman sejurus gitar dijual.

Salman merupakan bekas pemain gitar kumpulan SO7 yang sebelum ini meninggalkan kumpulannya untuk mendalami ilmu agama.

Semalam, selepas berbelas tahun bersara dari dunia muzik, Salman buat pertama kali muncul menerusi sebuah konsert tampil mempersembahkan beberapa lagu termasuk Sephia yang diubah menjadi lirik ketuhanan.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok