ENGGAN lagi isteri menjadi sasaran kecaman khalayak penyanyi Fuad Rahman melarang Tom menerima tawaran menyanyi di kelab malam sejak mereka mendirikan rumah tangga Februari lalu.
Katanya penyanyi asal Singapura itu, larangan tersebut bukan bermakna bekerja di pusat hiburan tidak bagus, cuma dia tidak mahu niat mereka mencari rezeki tidak disalah erti pihak orang luar yang hanya mengecam tanpa usul periksa.
“Bukan suruh dia terus berhenti, cuma dalam keadaan sekarang saya tak mahu Tom dituduh bukan-bukan sebab segelintir orang luar yang tak tahu lebih suka sangka kita buat kerja tak elok sedangkan kita cari makan saja.
“Daripada disalah erti, saya cakap pada Tom tak payahlah dulu ambil ‘show’ di pusat hiburan hiburan, biar saya saja uruskan ekonomi keluarga kami.
“Sebagai suami saya pun nak lindungi isteri kerana kadangkala timbul rasa geram apabila orang yang kita sayang selalu jadi mangsa kecaman.
“Kalau setakat komen sikit-sikit kita boleh hadap, ini sudah ke peringkat melampau yang buatkan saya kasihan dengan isteri,” katanya selepas program Famili Dua tiga (FD3), kelmarin.
Pada masa sama, penggiat seni asal Singapura itu menegaskan permintaan kepada Tom bukan bertujuan menghina atau memandang rendah kepada rakan seperjuangan lain yang masih mencari rezeki di tempat tersebut.
Sebagai individu yang bertahun-tahun pernah bekerja di tempat sama, Fuad, 44, cuma mahu isterinya berehat dari segi mental dan fizikal dalam keadaannya yang kini berbadan dua.
“Selain tidak lagi menyanyi di kelab, Tom juga sudah tak ambil tawaran menyanyi di tempat lain kerana kandungannya kini sudah masuk trimester ketiga.
“Cuma buat masa ini kami fokus dulu kepada pertandingan realiti terbitan TV3 ini yang dijadualkan selesai pada awal Disember depan.
“Bukan saya pandang rendah kawan lain, kami berdua pun asal dari situ tetapi disebabkan situasi sekarang selain insiden di Langkawi yang buatkan saya nekad minta Tom elakkan ambil tawaran di kelab.
“Kebetulan waktu itu dia melawat kawan di tempat kerja lama, Tom lepas rindu menyanyi di hadapan pengunjung tetapi ada orang rekod dan sebar video hingga dia dituduh bukan-bukan sedangkan sentuh air itu pun tidak,” ujarnya.
Sementara itu, Tom atau nama sebenarnya Raja Farah Afzal Raja Ikram turut berharap sikap skeptikal sesetengah individu terhadap penyanyi dan pemuzik pusat hiburan juga perlu diubah.
“Sepanjang 20 tahun bekerja saya lalui banyak pengalaman yang baik, namun jangan disebabkan lokasinya sebagai tempat berhibur membuatkan kami dituduh minum dan sebagainya.
“Bapa saya dan bapa mentua juga pernah menjadi pemuzik kelab, jadi keluarga kami faham suasana bekerja selain rutin kami terus pulang usai sempurnakan tugas,” ujarnya.
Terdahulu, pasangan yang menjalin cinta sekitar 2005 dan berpisah lima tahun kemudian itu bertemu semula ketika menjadi peserta Gegar Vaganza musim sembilan (GV9) dan mereka bergelar suami isteri pada Februari lalu. -HIBGLAM