PENYANYI G-Dragon bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu mengenai dirinya susulan dakwaan penyalahgunaan dadah.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan wakil peguamnya, G-Dragon atau nama sebenarnya, Kwon Ji-yong tidak akan berkompromi dalam isu berkenaan dan tidak menolak kemungkinan mengheret penyebar fitnah ke muka pengadilan.
“Kami sedang mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menyiarkan cerita berniat jahat termasuk fitnah, penghinaan, gangguan seksual, penyebaran maklumat palsu dan fitnah jahat terhadap Kwon Ji-yong.
“Kami akan terus meminta pihak terbabit bertanggungjawab tanpa ada sebarang penyelesaian lain atau kelonggaran terhadap isu ini,” jelas wakil peguam tersebut.
Bekas anggota kumpulan BigBang itu sebelum ini dipanggil pihak polis bagi menjalankan siasatan selepas tular dakwaan dia mengambil barang terlarang.
G-Dragon memberi kerjasama baik sepanjang siasatan dan pada 21 November, hasil ujian makmal mendapati semua sampel yang diambil adalah negatif. – HIBGLAM