‘Friends’ ratapi pemergian Matthew Perry

KAMI bukan hanya teman gandingan, sebaliknya sebuah keluarga”.

Itu antara luahan lima pelakon sitkom popular 1990-an Friends ketika memberi penghormatan terhadap rakan mereka, aktor Matthew Perry yang meninggal dunia Sabtu lalu.

Jennifer Aniston, Courteney Cox, Lisa Kudrow, Matt LeBlanc dan David Schwimmer dalam kenyataan bersama mengakui sedang meratapi pemergian rakan mereka yang disifatkan sebagai kehilangan tidak diduga.

Mereka yang bersama mendiang dalam siri komedi popular di saluran NBC sejak 1994 itu berkongsi perasaan secara terbuka mengenai Perry buat pertama kali selepas tiga hari pemergian mendiang.

Terdapat banyak perkara untuk diperkatakan, tetapi sekarang kami ingin meluangkan masa untuk memberi penghormatan dan dalam proses menerima kehilangan tidak dijangka ini,” kata kenyataan tersebut.

Lima pelakon berkenaan berjanji akan berkongsi lebih banyak perkara berhubung sahabat kesayangan mereka andai tiba masanya nanti.

Buat masa ini, fikiran dan cinta kami adalah bersama keluarga Matty, rakan-rakannya dan semua orang yang menyayanginya di seluruh dunia,” ujar mereka lagi.

Setakat ini punca kematian Perry yang ditemui tidak sedarkan diri di tab mandi di kediamannya di Los Angeles masih belum diketahui.

Biarpun laporan awal menyebut insiden berkenaan tiada unsur jenayah atau dadah, Pejabat Pemeriksa Perubatan Daerah Los Angeles perlu menjalankan bedah siasat.

Kematian Perry berlaku setahun selepas penerbitan memoirnya, Friends, Lovers, and the Big Terrible Thing, yang membongkar masalah ketagihan ubat tahan sakit dan alkohol.

Tiga minggu sebelum kehilangannya, ramai rakan terdekat memaklumkan dia tampak semakin gembira terutama selepas berpindah ke rumah baharu.

Malah, Perry juga dikatakan telah menandatangani sebuah projek filem baharu yang turut dimaklumkan kepada orang terdekatnya termasuk keluarga.

Ironinya, lelaki yang pernah mendedahkan dirinya nyaris mati pada usia 49 tahun akibat ketagihan yang teruk itu masih dibelenggu kemurungan.

Terkenal dengan watak Chandler Bing dalam Friends yang disiarkan selama 10 musim sehingga 2004, dia mengejutkan rakan lain ketika reunion sitkom tersebut baru-baru ini dengan menyatakan mengalami kerisauan melampau sepanjang penggambaran.

Kehilangan Perry tentu saja meninggalkan impak besar bukan sekadar kepada keluarga, kenalan, bintang Friends lain, malah pengikut tegar sitkom terbabit.

Terdahulu, episod finale pada 2004 mencetuskan fenomena tersendiri apabila meraih 52 juta tontonan di Amerika Syarikat, sekali gus menjadi episod paling tinggi dalam sejarah televisyen bagi tempoh sepanjang tahun 2000. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok