PELAKON dan usahawan, Nur Fazura, 40, memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang memperdayakan orang ramai dengan promosi minyak wangi palsu di bawah jenama syarikatnya.
Katanya, tindakan scammer mengambil untung atas angin yang menawarkan harga tidak masuk akal, selain menggunakan namanya bagi tujuan menipu disifatkan sebagai perbuatan melampau.
“Maaf, saya terpaksa muat naik hantaran ini selepas ramai yang sangat marah pasal penipuan ini.
“Nak jelaskan di sini, ini adalah satu niat tak baik apabila mengaut keuntungan dengan menipu peminat saya.
“Kepada yang bertanggungjawab lebih baik hentikan sekarang sebelum Faz ambil tindakan saman,” katanya dalam hantaran Instagram.
Isteri kepada aktor Fattah Amin itu turut berkongsi tangkap layar akaun TikTok dipercayai milik individu dari negara jiran yang membuat kempen atau promosi mengelirukan itu.
“Pengumuman! Minyak wangi Nur Fazura secara rasmi dijual di Tiktok. Siapa pun boleh beli harga, cuma
RM1, periksa bakul kuning,” menurut keterangan iklan terbabit.
Promosi dalam bahasa Indonesia itu dimuat naik dalam sebuah blog bertarikh 18 November lalu, dengan dikongsi dalam TikTok sekali gus meraih pelbagai respons. – HIBGLAM