“SETAKAT ini XPDC belum pernah kena tipu sebab kami minta deposit dulu.”
Demikian perkongsian kumpulan XPDC yang berpegang teguh dengan prinsip mengenakan wang deposit sebanyak 50 peratus sebelum mengesahkan persetujuan untuk tampil dalam mana-mana persembahan bagi mengelak ditipu promoter atau orang tengah.
Pemain basnya, Zuar berkata formula yang diguna pakai mereka sejak sekian lama itu setakat ini menjadi.
“Alhamdulillah, setakat ini XPDC belum pernah kena tipu kerana sebarang jemputan persembahan mahupun promosi, kami minta dulu deposit sekurang-kurangnya separuh daripada yang dipersetujui.
“Kami perlu bertegas dalam soal kontrak. Jika mahu sahkan persembahan kami, bayar 50 peratus dahulu, begitulah saya jaga XPDC dari dulu. Paling penting perjanjian awal itu kena telus.
“Bukan memilih, tapi sebagai band ‘otai’ semua perlu faham yang kami sudah masak dengan permainan industri. Ada deposit, ada persembahan,” katanya ketika ditemui pada sidang media Search Voyage of Asia, semalam.
XPDC bakal memanaskan pentas konsert Search di Educity Sports Complex, Johor Bahru, bersempena Hari Rock Negara Edisi Selatan pada 24 dan 25 November ini.
Menyentuh mengenai persembahan selama 40 minit itu, Zuar atau nama sebenarnya Azuar Md. Tasi, 57, mengakui menerima undangan itu atas dasar simpati selepas penganjurnya, C&M Music Centre
ditipu orang tengah.
“Penganjur pelawa XPDC sejak awal tahun lagi, tapi lepas itu tiada perkembangan sehinggalah baru-baru ini dimaklumkan mereka ditipu orang tengah.
“Atas dasar mahu membantu, kami sanggup turun padang mempromosikan acara ini biarpun hanya sebagai kumpulan undangan dengan band utama nanti adalah Search.
“Tidak mengapalah, dalam situasi tertentu kita masih boleh bertolak-ansur. Lagipun, penganjur berpegang kepada janji,” ujarnya.
Selain Zuar, band rock yang hampir empat dekad bertapak dalam industri muzik itu turut dibarisi Ary selaku vokalis, Jeff (gitar) dan Amy (dram). – HIBGLAM