Derita mental selebriti K-pop

MASALAH kesihatan mental bukan perkara asing dalam masyarakat termasuk selebriti yang hidupnya terdedah dengan tuntutan kesempurnaan.

Isu mental yang kerap dibincangkan dalam kalangan masyarakat sebenarnya masih terlalu banyak yang tersimpan menjadi racun kepada si penghidapnya.

Terbahagi kepada banyak lapisan mengikut kecenderungan dan gaya hidup, situasi sama berlaku kepada ahli kumpulan Verivery iaitu Hoyoung apabila terpaksa direhatkan buat sementara waktu atas alasan kesihatan mental.

HOYOUNG mengalami masalahan kebimbangan melampau sehingga terpaksa direhatkan seketika .

Menurut pihak pengurusannya, Jellyfish Entertainment, penyanyi rap itu baru sahaja mendapatkan rawatan susulan mengalami gejala kebimbangan psikologi.

Atas nasihat pakar perubatan, dia harus berehat daripada aktiviti berkumpulan sehingga keadaan mentalnya stabil.

Jooheon

JOOHEON Monsta X pernah mengalami kebimbangan kronik pada 2020.

SAMA seperti artis lain, ahli kumpulan Monsta X, Jooheon terpaksa diberikan cuti bagi memberi tumpuan rawatan emosinya pada Januari 2020.

Jooheon atau dikenali sebagai Joohoney dirujuk ke beberapa pusat perubatan profesional untuk diagnosis tepat mengenai gejala kebimbangannya.

Selepas beberapa sesi konsultasi, penyanyi berusia 29 tahun itu mengambil keputusan untuk berehat sehingga keadaannya kembali stabil.

Tidak lama selepas itu, pada bulan Oktober tahun yang sama, dia kembali aktif dalam karier muzik.

Haseul

HASEUL direhatkan dan kini berada di bawah pemantauan keluarganya.

KETIKA rakan lain sibuk mempromosikan album baharu berjudul Hash pada 2020, ahli kumpulan Loona iaitu Haseul terpaksa direhatkan demi rawatan masalah mental.

Pemilik nama lengkap Cho Ha-seul itu kerap mengalami kecelaruan keresahan sehingga dibawa ke hospital bagi menjalani pemeriksaan lanjut.

Bagaimanapun, dia tetap berkeras mahu membantu mempromosikan album baharu bersama rakan-rakannya yang lain.

Atas budi bicara, dia direhatkan dan kini menetap bersama keluarganya.

Kang Daniel

KANG Daniel mengalami kemurungan dan gangguan panik.

PENYANYI Kang Daniel dirujuk ke sebuah hospital apabila disahkan mengalami masalah kesihatan berikutan sistem imun yang lemah yang mengakibatkan kemurungan dan gangguan panik.

Biarpun begitu, Daniel masih meneruskan kariernya tanpa pengambilan ubat-ubatan dan rawatan psikologi secara berkala.

Kesannya, keadaan mentalnya menjadi lebih teruk sehingga terpaksa membatalkan pra-rakaman untuk program realiti Show Champion pada 2019 lalu.

Susulan insiden itu, pengurusannya, Konnect Entertainment mengambil langkah terbaik dengan melakukan pemulihan kesihatan artis jagaannya.

Label terbabit turut meminta peminat tidak mencetuskan spekulasi mengenai kesihatan Daniel.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok