Contohi Senario, Syarif, Syaiful mahu rakam album

TIGA kali bergelar juara mingguan Famili Duo (FD3) menyuntik semangat pelawak Syaiful dan Sharif untuk lebih serius dalam bidang nyanyian dengan merakamkan lagu selepas tamat pertandingan realiti itu.

Kata Sharif atau nama sebenarnya, Sharif Kadir Doli Sharif, mereka mahu menjadi penggiat seni versatil seperti Senario, bukan hanya dikenali sebagai pelawak dan pelakon sahaja.

“Sebenarnya banyak pihak minta kami buat persembahan nyanyian, tetapi ada lagu yang kurang sesuai sedangkan kami memang boleh menyanyi. Jadi, macam mana nak tunjuk kepada semua yang kami betul-betul serius.

“Pendek kata kami mahu jadi macam kumpulan Senario yang serba boleh. Mereka satu-satunya kumpulan pelawak yang ada lagu masuk Anugerah Juara Lagu (AJL). Kami nak kejar itu untuk bagi kepuasan kepada peminat.

“Kami boleh melawak, menyanyi, buat persembahan dan kalau ada rezeki lepas pertandingan ini nak keluar dengan lagu-lagu sendiri,” katanya selepas konsert minggu keenam FD3 di ntv7 Glenmarie, malam tadi.

PERSEMBAHAN Syarif dan Syaiful menerusi lagu Bunyi Gitar dan Direnjis-Renjis mendapat pujian juri dan penonton FD3.

Pasangan duo bersaudara terbabit mencipta kemenangan manis apabila buat kali ketiga diangkat sebagai juara selepas memenangi gelaran itu pada minggu pertama dan konsert minggu kelima.

Begitupun, akui Syaiful atau Mohd Syaiful Doli Sharif, 34, kemenangan tersebut bukan tiket untuk mendabik dada.

Sebaliknya, pasangan adik-beradik asal Kudat, Sabah itu  mahu terus konsisten memberikan persembahan terbaik pada malam separuh akhir, Ahad nanti.

“Sebenarnya dalam mana-mana pertandingan, kami akan berikan persembahan 100 peratus supaya semua penonton terhibur.

“Memang rasa yakin itu ada sebab sudah buat persiapan sebelum beraksi di atas pentas. Saya akui situasi terlebih yakin pernah terjadi sebab merasakan apa sahaja yang kami buat orang akan terhibur.

“Bagaimanapun, setiap kali kami rasa begitu, persembahan itu akan ‘jahanam’. Jadi, setiap persembahan kami akan psatikan penonton terhibur dan biarkan juri menilai,” katanya.

Biarpun ada yang beranggapan mereka layak mara ke peringkat akhir dengan jumlah markah dan kedudukan tempat pertama dalam carta keseluruhan ketika ini, Sharif bagaimanapun enggan diulit rasa selesa.

“Untuk minggu separuh akhir kami tak mahu buat sambil lewa. Kami tetap mahu berikan yang terbaik, biar orang nilai yang kami layak masuk ke final.

“Sejak mula masuk program ini, saya sematkan dalam hati untuk tidak mensasarkan kemenangan, tapi mahu orang bercakap mengenai penangan FD3. Kami mahu FD3 menjadi musim yang orang akan ingat sampai bila-bila.

“Kami memang bukan asalnya penyanyi, tapi kami tetap berusaha untuk tunjuk kepada orang ramai yang kami boleh menyanyi,” ujarnya.

BUAT kali ketiga, Syarif dan Syaiful berjaya membawa pulang hadiah wang RM10,000.

Menerusi konsert minggu keenam FD3, duo itu berjaya membawa lagu Bunyi Gitar nyanyian asal Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Direnjis-Renjis (Allahyarham R. Ismail) dengan baik, sekali gus layak membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.

Ajai dan Mas Idayu berpuas hati dengan persembahan duo adik-beradik itu  biarpun pada awalnya sempat bergurau dengan mengatakan aksi mereka kurang mantap.

Antara momen mencuit hati apabila Syaiful dan Sharif menampilkan pelakon tambahan yang seiras vokalis kumpulan Slam, Zamani.

Malah, konsep tarian dan sketsa yang diketengahkan menggamatkan suasana studio dengan sorakan serta tepukan penonton.

Syaiful dan Sharif mengumpul 7.13 markah meninggalkan lima pasangan lain iaitu Tom dan Fuad Rahman yang beroleh 62.9 markah; Adira Suhaimi dan Emma Suhaimi (62.8 markah); Haqiem Rusli dan Ariff Bahran (47.7 markah); Shila Amzah dan Syahir Amzah (45.9 markah) serta Ryan Bakery dan Adam Bakery (45.4 markah).

Atas kemenangan itu, Syaiful dan Sharif memilih tema Hip Hop/Dance untuk dipersembahkan setiap peserta pada konsert separuh akhir, Ahad depan.

Mengulas persembahan bertemakan Retro malam tadi, Sharif berkata, mereka menampilkam sekumpulan pemuda yang mengetengahkan nostalgia era 1970-an dengan berpakaian dan berdialog seperti masyarakat ketika itu.

“Mereka semua sudah tular di TikTok dan ada pengikut. Mereka sering ketengahkan dan perpakaian seperti orang zaman 1970-an atau seumpamanya.

“Bahkan, kereta yang mereka pandu juga model lama. Mereka menghidupkan suasana era 1970-an di TikTok,” kata Sharif – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok