IBARAT memulangkan paku buah keras, penyanyi dangdut Baby Shima bertindak menyindir pempengaruh media sosial, Zhiddin Aziz yang kini terpalit kontroversi menciplak nukilan orang lain.
Pemilik nama sebenar Nor Ashima Ramli yang sebelum ini pernah dikritik Zhiddin berkata, tindakan anak muda berusia 21 tahun terbabit seakan tiada harga diri.
Kata personaliti sensasi itu, selaku pempengaruh media sosial, Zhiddin sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada orang ramai terutama generasi muda.
“Dah la menangis tak dapat anugerah. Lepas itu, menciplak karya orang pula.
“Katanya ada harga diri, meniru karya orang itu ada harga diri ke?
“Macam itu ke influencer (pempengaruh)? Patutlah tak boleh menang anugerah,” tulisnya dalam Instagram Story.
Menerusi perkongsian lain, Baby Shima dalam nada menyindir mengingatkan Zhiddin supaya jangan masuk campur isu membabitkan individu lain.
Daripada perkongsian tersebut, jelas menunjukkan anak kepada pengacara popular Allahyarham Aziz Desa itu pernah ‘mencuitnya’.
“Lain kali jangan sibuk hal orang. Orang tak kacau kau. Nak sibuk sangat kacau Shima, terpaling ikon.
“Jangan asyik suka buat konten tentang hal orang lain dan jagalah tepi kain sendiri supaya jangan terselak,” luahnya.
Kontroversi tercetus selepas Zhiddin mempertikaikan namanya tidak diumumkan dalam Anugerah Perdana Belia Negara (ABPN) 2023, sedangkan sudah dijemput hadir, baru-baru ini.
Susulan itu, individu bernama Khairul Afsan yang juga bekas pemidato peringkat antarabangsa tampil mendakwa potongan teks pidato dibacakan Zhiddin adalah nukilannya bersama rakan seangkatan Amirrudin Abd. Rahman pada 2011.
Membalas teguran itu, Zhiddin mengakui dia tidak mengetahui siapa penulis asal karya tersebut selain menyatakan mengambil petikan berkenaan dengan niat mahu memartabatkan bahasa Melayu – HIBGLAM