Cinta tidak kesampaian bintang K-Pop

BEBERAPA hari lalu, dunia K-Pop dikejutkan dengan berita penyanyi Hyeri dan pelakon Ryu Joon-yeol berpisah selepas tujuh tahun menjalinkan hubungan cinta.

Khabar tersebut telah mematahkan hati para peminat yang mahu melihat mereka bersatu dan berakhir sebagai suami isteri.

Bagaimanapun, kedua-dua selebriti itu berjanji akan kekal sebagai rakan selain saling menyokong karier sesama mereka.

Cinta yang berputik ketika menjalani penggambaran drama Reply 1988 membuatkan mereka mudah menjiwai watak dan menjalinkan kemesraan dalam set.

Selain mereka, ada beberapa lagi selebriti Korea Selatan putus cinta hingga memberi kesan kepada peminat.

Lee Min-ho & Suzy

HARAPAN peminat melihat pasangan selebriti Lee Min-hoo dan Suzy melangsungkan perkahwinan terkubur apabila pasangan itu dilaporkan tidak lagi bersama.

Khabar tersebut dimaklumkan pihak pengurusan mereka pada November 2017 selepas tiga tahun menjalin kasih.

Pasangan terbabit sepakat berpisah kerana masing-masing mempunyai masalah peribadi yang tidak boleh dikongsikan kepada umum.

Kisah percintaan mereka menjadi perbualan hangat netizen apabila foto percutian di London pada Mac 2015 tersebar.

Nam Joo-hyuk & Lee Sung-kyung

KISAH percintaan singkat. Itu gambaran buat pasangan selebriti Nam Joo-hyuk dan Lee Sung-kyung yang hanya bercinta selama empat bulan sebelum berpisah.

Pada awal perkenalan, mereka sering berjumpa atas urusan kerja dan mula mengenali hati budi masing-masing.

Selepas itu, mereka mula intim selain tidak pernah menyembunyikan kebahagiaan sebagai pasangan kekasih.

Pihak pengurusan YG Entertainment mengesahkan hubungan pasangan itu sekitar April 2017.

Begitupun, hasrat membawa hubungan ke fasa seterusnya musnah apabila mereka mengumumkan perpisahan pada Ogos 2017 atas alasan jadual kerja yang padat.

IU & Chang Kiha

MULA menjalinkan hubungan pada 2013, pasangan selebriti IU dan Chang Kiha tidak mempedulikan jurang umur 11 tahun antara mereka.

Mereka mula mengenali lebih rapat selepas muncul dalam sebuah rancangan radio yang disusuli beberapa pertemuan lagi sebelum memutuskan untuk bercinta.

Biarpun sudah lama bercinta, mereka sepakat mendedahkan hubungan itu kepada umum pada 2015.

Menurut IU, dia jatuh cinta pandang pertama apabila bertemu dengan Kiha.

Namun, kisah percintaan mereka terlerai pada 2017 dan hanya kekal sebagai rakan baik.

HyunA & Dawn

PASANGAN penyanyi HyunA dan Dawn mula bercinta sejak 2016 dan terbuka mendedahkan tentang hubungan mereka dua tahun kemudian.

Percintaan mereka juga tampak semakin serius apabila pasangan tersebut mengumumkan ingin berkahwin pada Februari tahun lalu.

Tetapi sekitar enam bulan selepas pendedahan, hubungan mereka terputus di tengah jalan tanpa menyatakan sebarang punca.

Namun timbul spekulasi mengenai bekas anggota kumpulan Wonder Girls itu yang didakwa menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain sewaktu bersama Dawn.

Berikutan tuduhan dilemparkan, Dawn dikatakan mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap penyebar fitnah mengenai bekas teman wanitanya itu.

Biarpun sudah membawa haluan masing-masing, pemilik nama lengkap Kim Hyo-jong mengakui masih mencintai HyunA. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok