Cara nyanyian dipertikai, Siti Nordiana selesa jadi diri sendiri

“TAK boleh paksa orang suka suara saya.”

Itu kata penyanyi Siti Nordiana yang tidak pernah memaksa mana-mana pihak untuk menyukai cara nyanyiannya sehingga hari ini masih menerima kritikan ramai.

Kata pemilik nama penuh Siti Nordiana Alias, 39, dia akan tetap menjadi diri sendiri dan kelembutan dalam nyanyian adalah identitinya sejak dahulu.

“Betul memang ada sahaja yang mempertikai cara nyanyian saya.

Hakikatnya tidak boleh nak paksa orang ramai menyukai suara saya sebab suka itu adalah subjektif.

“Ada yang suka suara saya dan terdapat juga gemar dengan suara peserta lain. Saya hanya jadi diri sendiri sahaja,” katanya kepada HibGlam selepas konsert minggu ke-10 All Stars Gegar Vaganza (GV10), semalam.

Mengakui terkejut apabila namanya antara diramal bakal melangkah ke konsert final GV10, dia bagaimanapun tetap berharap semangat yang diberikan para peminat akan membantunya untuk terus bekerja keras dalam memberikan persembahan terbaik minggu hadapan.

“Kekuatan saya ketika ini ialah sokongan peminat yang tidak pernah putus sejak minggu pertama GV10.

“Minggu lalu ibarat pemberi semangat untuk berusaha keras sekiranya ada rezeki ke final.

“Bertanding dengan juara-juara lain bukan perkara mudah, mereka semua hebat. Saya serahkan semuanya kepada rezeki,” kata juara Gegar Vaganza musim kedua itu.

Berkongsi mengenai keadaan semasa peti suaranya yang sebelum ini terjejas akibat jangkitan Covid-19, ibu kepada seorang cahaya mata itu kini masih menjalani rawatan ‘voice cleanse’ di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

“Ketika ini saya tidak banyak bercakap demi menjaga kesihatan peti suara ditambah pula dengan batuk.

“Rawatan tersebut masih berjalan dalam tempoh enam bulan dan mengambil ubat untuk beri kelegaan pada bahagian tekak,” jelasnya.

Terdahulu, Nana tetap menyahut cabaran menyertai GV10 walaupun peti suaranya mengalami masalah selepas dijangkiti Covid-19 sebanyak lima kali.

Katanya, Covid-19 bagi kesan kepada saluran penafasan kerana menjadi sempit, penat nak menyanyi sehingga rasa ketat ketika melontarkan suara. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok