Bukan ‘move on’ tapi bangkit kembali – BCL

“BUKAN ‘move on’ ya, tapi lebih kepada bangkit kembali”.

Demikian luahan hati penyanyi Bunga Citra Lestari (BCL) selepas dihujani kritikan dan sindiran hanya kerana ingin mengahwini Tiko Aryawardhana.

Akui balu kepada pelakon, Allahyarham Ashraf Sinclair itu, perasaan sakit kehilangan insan tercinta tidak mungkin dapat diubati.

“Kalau ‘move on’, aku rasa sebuah duka seperti ini sampai kapan (bila) pun tidak akan pernah bisa (boleh) ‘move on’,” katanya ketika diwawancara media Indonesia, baru-baru ini.

Sebelum ini BCL mengunci mulut daripada mengulas khabar perancangan pernikahan dengan petugas sebuah syarikat kewangan yang dikatakan berlangsung di Bali, Indonesia pada 2 Disember ini.

Luahnya lagi, menikahi lelaki lain juga tidak bermakna dia sudah mampu meneruskan kehidupan tanpa sekelumit pun rasa sedih seperti sangkaan ramai.

Malah, penyanyi Badai Telah Berlalu itu berkata, dia hanya ingin mencari bahagia demi zuriat tunggal bersama Allahyarham, Noah, 12.

“Tapi bagaimana kita bisa hidup kembali, semangat lagi, bangkit kembali tanpa melupakan, ‘live with the pain’.

“Kita pelan-pelan belajar untuk bisa hidup dengan kesakitan dan membuat memori-memori baharu yang bisa buat kita bahagia.

“Kan anak juga perlu bahagia, aku juga perlu bahagia supaya anak terus bahagia,” ujarnya.

Sementara itu, selebriti berusia 40 tahun terbabit juga tidak menafikan kesahihan perkhabaran hari bahagianya yang bakal berlangsung di sebuah hotel apabila berharap majlis tersebut berjalan lancar.

“Insya-Allah, doakan ya teman-teman. Kalau kita punya keinginan, sesuatu dan niat yang baik, Insya-Allah ada jalannya.

“Jadi mudah-mudahan saja. Harapnya jantung aku tenang ya hari itu,” katanya.

Berita pernikahan serta resepsi BCL dan Tiko, 43, menjadi sebutan sejak beberapa hari lalu selepas tular kad jemputan perkahwinan yang tertera nama pasangan itu.

Pada ketika itu netizen seolah-olah tidak memberi restu apabila menyerang akaun Instagram BCL kerana berasakan dia sudah melupakan arwah suaminya.

Pelbagai sindiran mengisi ruangan komen sehingga kisah dia menempah lot kosong bersebelahan kubur Ashraf juga diungkit semula.

Begitupun, ketika diri dilemparkan kecaman, ibu mentuanya, Khadijah Abdul Rahman tampil menyatakan restu.

Khadijah secara terang-terangan meminta menantu kesayangannya dapat meneruskan kehidupan dan mencari kebahagiaan demi masa depannya.

Terdahulu, Allahyarham Ashraf menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung pada 18 Februari 2020.

Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 2008 itu dikurniakan seorang putera, Noah yang kini berusia 12 tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok