BERPEGANG teguh dengan pendirian, pelakon Fattah Amin berpendapat wajar bagi seorang suami untuk mengetahui dengan siapa isteri tercinta, Nur Fazura berkawan.
Jelas pemilik nama penuh Abdul Fattah Mohd. Amin itu, adalah dituntut seorang isteri perlu mendapat keizinan serta pandangan suami dalam banyak hal.
“Sebagai suami kita kena ambil tahu dengan siapa isteri berkawan.
“Sangat normal bagi suami isteri untuk menasihati antara satu sama lain dalam segala perkara.
“Isteri perlu meminta izin suami bagi mendapat redha dan keberkatan, jangan kata kawan, nak keluar rumah pun kena minta izin suami,” katanya kepada HibGlam.
Ditanya sama ada tindakan pelantun lagu Wanita Terakhir itu bersifat mengongkong, Fattah menafikan perkara itu sebaliknya menegaskan perbincangan antara suami isteri adalah sesuatu yang wajar.
“Sebagai orang Islam kita jangan menjadikan perkara ini sebagai isu sehingga tuntutan agama dalam kehidupan rumah tangga dipandang negatif.
“Kalau saya kongkong, Faz (Fazura) mungkin tak boleh keluar bekerja, jalani penggambaran contohnya,” jelasnya di majlis Eastana Exclusive Pelancaran Koleksi Baju Melayu untuk Raya Aidilfitri 2024, semalam.
Terdahulu, selebriti dan usahawan terkenal Neelofa menyatakan hasrat mahu menamatkan perang dingin dengan Fazura yang berlarutan selama 13 tahun.
Susulan itu, menerusi satu hantaran dalam Instagram, Fazura menafikan wujud perang dingin antara mereka selain turut menegaskan perlu mendapatkan keizinan suami jika ingin berkawan dengan sesiapa.
“Sama juga seperti orang lain, Faz berhak menentukan dengan siapa Faz sesuai berkawan.
“Tidak berkawan, tidak semestinya memusuhi. Kini, izin suami dengan siapa Faz wajar berkawan juga wajib diberikan keutamaan,” ungkapnya dalam hantaran terbabit. – HIBGLAM