Buat keputusan tidak memudaratkan, fikir diri dan anak – Puteri Sarah

“PILIHAN di tangan kita sendiri, kita yang menentukan bahagia diri kita.”

Demikian pendapat peribadi pelakon Puteri Sarah Liyana berhubung kehidupan bermadu yang pernah dilaluinya apabila kecoh isu poligami dalam media sosial mutakhir ini.

Pemilik nama penuh Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin itu menasihatkan golongan isteri yang terpalit isu serupa agar membuat keputusan tidak memudaratkan, sebaliknya boleh membahagiakan dirinya dan anak-anak.

“Buat keputusan yang menggembirakan jika tidak memudaratkan, fikir jalan yang sebaiknya untuk diri kita dan anak-anak.

“Sarah? Saya bahagia dengan keputusan saya dan masih teguh dengan pendirian itu malah bersyukur saya berbuat demikian.

“Pada akhirnya, pilihan di tangan kita sendiri, kita yang menentukan bahagia diri kita,” katanya menerusi satu hantaran dalam Instagram.

Sementara itu, pelakon Hijrah Jannah itu sempat menitipkan pesanan kepada wanita bergelar isteri yang dimadukan supaya tidak mendengar hasutan orang lain dalam membuat keputusan.

Kata ibu tunggal kepada dua cahaya mata itu, setiap keputusan, kesannya harus dikirkan dari segenap aspek baik diri sendiri, keluarga mahupun anak-anak.

“Dalam keadaan ini, jangan dengar hasutan orang lain, jangan biar orang lain buat keputusan untuk kita, hanya kita tahu apa yang kita rasa dan mana yang terbaik untuk kita.

“Apa pun yang terjadi, fikir apa yang terbaik untuk awak dan anak-anak. Jangan risau kerana Allah itu Maha Mendengar, dia sentiasa ada dengan awak, percayalah,” ujarnya.

Meskipun Puteri Sarah tidak menyebut nama mana-mana individu, tetapi netizen percaya hantaran tersebut mempunyai kaitan dengan isu poligami yang tular dalam media sosial baru-baru ini.

Sebelum ini, pempengaruh media sosial, Alif Teega membuat pengakuan berpoligami selain menyatakan penjelasan dibuat bagi mengelak timbul fitnah.

Isteri pertamanya, Aisyah Hijanah pula meminta orang ramai tidak bercakap buruk mengenai perkahwinan kedua suaminya itu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok