Boikot Zus sebab dewa Yunani? Ungku Ismail pesan jangan jumud

PELAKON Ungku Ismail menegaskan menyokong sesetengah jenama produk yang hanya didakwa mempunyai logo meragukan tidak bermaksud menyekutukan Tuhan apatah lagi bertukar aliran agama.

Mengulas isu logo sebuah jenama kopi tempatan, Zus yang didakwa menggunakan wajah Tuhan Yunani bernama Zeus, Ungku enggan mempercayai hal tersebut dan hanya ingin menikmati produk minuman dijual sahaja.

“Pendapat tentang Zus Coffee, walaupun jenamanya seakan-akan ke arah dewa Zeus, sebagai orang Islam, saya tidak mempercayai tuhan yang dikatakan itu atau berhasrat bersetuju dengannya.

“Saya hanya nak minum kopi daripada syarikat yang tidak menyumbang pembunuhan manusia dan kanak kanak di Gaza atau di mana sahaja,” katanya dalam Instagram.

Tambah pemilik nama penuh Ungku Ismail Ungku Abdul Aziz itu, pembelian kopi zus tidak menjadikan dirinya sebagai penyokong apatah lagi bertukar sebagai penganut agama lain.

Dia juga meminta orang ramai keluar daripada kepompong pemikiran kolot yang suka memboikot sesebuah jenama hanya kerana menilai daripada luaran sahaja.

“Dengan membeli kopi daripada Zus,
tidak menjadikan saya sekutukan Allah dengan dewa Zeus dan tidak juga bertukar sebagai warganegara Sepanyol.

“Saranan kena boikot sebab didakwa guna nama dewa Zeus dan agama mensyirikkan Allah, mohon berhenti jadi jumud.

“Sebaik-baiknya lanjutkan kajian tentang akidah syirik, kepercayaan, penyembahan, pendirian dan amalannya,” jelasnya.

Suami kepada aktres Nad Zainal itu juga turut menyelar segelintir individu meninggalkan komen berfikiran sempit iaitu nama yang digunakan segelintir jenama boleh menukar aliran kepercayaan seseorang.

“Banyak sangat hendak komen dalam media sosial.

“Kita lupa nak membaca bahawa John adalah nama seorang Jesus dalam agama Christian maka perlu boikot roti john juga?

“Kepada Zus, kaldi pakai wreath (kalungan bunga atas kepala)? Orang Arab tak pakai pakaian Greek setahu saya,” jelasnya.

Sejak kebelakangan ini, kecoh dalam media apabila ramai berdebat bahawa logo yang digunakan oleh sebuah produk boleh membuatkan agama seseorang terpesong.

Perkara itu mula berbangkit apabila Zus Coffee dikatakan menggunakan wajah dewa Zeus sebagai logo jenama mereka.

Bagaimanapun dinafikan dan menjelas foto tersebut ialah wajah seorang kaldi iaitu pengembala kambing Arab dari Habsyah (Ethiopia) yang dikatakan lelaki pertama yang menemui keistimewaan biji kopi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok