Bila masa saya nikah lagi? – Alif Satar

SEGAN dan tidak berapa seronok sebenarnya apabila pujian datang daripada berita negatif orang lain.”

Demikian respons selebriti serba boleh, Alif Satar apabila diminta mengulas tentang pujian yang diberikan pakar motivasi, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah dan netizen terhadap dirinya selepas isu perkahwinan kedua pempengaruh Alif Teega yang kecoh di media sosial malam tadi.

Alif atau nama sebenarnya, Muhammad Alif Mohd Satar, 33, juga enggan mengulas perkara itu kerana tidak tahu apa akan berlaku pada masa hadapan.

“Memang lucu bila baca komen di media sosial tetapi ini tentang kehidupan orang lain yang terjejas, banyak hati yang terguris.

“Saya tidak suka beri komen sebab tak tahu apa nasib dan pengakhiran saya pada masa depan,” kata Alif.

Menurut Alif lagi, pujian yang diberikan kepadanya dirasakan berat kerana sebagai manusia dia juga tidak sempurna.

Ini pun nasib baik Allah tutup aib saya. Jika Allah buka aib saya macam mana? Saya tidak tahu apa akan jadi pada saya esok lusa.

“Saya tidak berani kata apa-apa, kadang-kala sesuatu perkara berlaku untuk kita bermuhasabah diri,” ujar pelantun lagu Lelaki Seperti Aku itu.

Dalam masa sama, Alif mengakui terkejut apabila menerima mesej daripada peminat di media sosial yang mempersoalkan mengapa dia berkahwin sekali lagi.

Saya terkejut apabila peminat komen di Instagram kenapa saya berkahwin lain? Bila masa pula saya bernikah lagi?

“Jika baca komen-komen dan mesej tersebut memang rasa kelakar, tetapi buat yang mengalami perkara tersebut, semua komen itu boleh buat mereka terkesan.

Cuma saya tidak terganggu sebab netizen memang suka melawak. Saya tidak tahu hendak komen apa sebab bukan saya punya cerita,” ujarnya.

Sementara itu, Alif bakal muncul dalam konsert A Night With Alif Satar & The Locos And Anggi Marito pada 7 Januari 2024 di Zepp Kuala Lumpur.

Menariknya, pada konsert tersebut kumpulan nasyid terkenal, Raihan akan turut membuat persembahan dan sebahagian daripada kutipan tiket akan disumbangkan kepada tabung kemanusiaan Palestin.

Tiket serendah RM198 sehingga RM475 telah mula dijual hari ini menerusi Myticket.asia. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok