BENAR bagai disangka, pelakon Wafariena mengakui sedang bahagia menjalin hubungan istimewa dengan seorang jejaka yang juga ahli perniagaan.
Bagaimanapun, pemilik nama penuh Wafariena Roslan itu memilih untuk menyimpan kemas identiti lelaki yang mencuri hatinya dan memperkenalkan si dia hanya selepas hubungan memasuki fasa serius.
“Saya berkawan dengan semua orang, cuma sekarang saya rapat dengan seorang lelaki yang bukan orang dalam industri seni, sebaliknya lelaki biasa dan merupakan ahli perniagaan.
“Buat masa ini, saya juga tak dapat kongsikan lebih lanjut mengenai jejaka yang sedang saya kenali itu, apabila dah nak kahwin baru saya akan perkenalkan kepada umum.
“Kami sudah berkawan lebih setahun dan masing-masing serius dengan hubungan ini, insha-Allah jika jodoh kami panjang, maka hubungan ini akan dibawa ke peringkat seterusnya,” kata Wafariena kepada HibGlam.
Ditanya sama ada pernikahan dengan jejaka tersebut bakal berlangsung dalam waktu terdekat, aktres berusia 28 tahun itu menafikan dan menyerah isu jodoh kepada Yang Maha Esa.
“Setiap wanita ingin melalui fasa bujang ke alam rumahtangga, namun apa yang boleh saya katakan, sasaran untuk berkahwin itu belum ada lagi.
“Perihal jodoh ini susah untuk diulas lanjut kerana perkara tersebut bukan di bawah kawalan kita. Jadi, saya serahkan kepada Allah sebaik-baik perancang.
“Saya sejujurnya agak kekok untuk berkongsi hal peribadi kerana merasakan biarlah hanya saya dan keluarga sahaja yang tahu. Risau banyak kemungkinan boleh terjadi, cukuplah setakat ini saya kongsikan,” ujar Wafariena menoktahkan soalan cinta.
Terdahulu, pelakon kelahiran Pulau Pinang itu pernah menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon tinggi lampai, Syazuwan Hassan.
Mengakui jodoh tidak panjang, masing-masing membawa haluan sendiri sekali gus memilih menutup mulut daripada mengulas punca hubungan cinta tersebut terkandas di pertengahan jalan. – HIBGLAM.