PENYANYI Faizal Tahir menegaskan isu memboikot produk dan syarikat yang menyokong jenayah perang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin adalah atas pilihan masing-masing.
Kata Faizal, tidak perlu bertelagah hanya kerana isu boikot kerana pihak Israel sememangnya mahu memecahbelahkan masyarakat sesebuah negara.
“Pihak rejim Zionis memang nak kita bergaduh benda kecil begini. Kita akan saling menyalahkan.
“Saya gembira tengok sahabat saya, Micheal Ang buat hantaran dalam Instagram tetapi tidak halang atau suruh boikot.
“Perkara sebegini adalah pilihan sendiri. Saya tiada masalah sekiranya kawan atau adik-beradik saya masih sokong dan bagi sumbangan kepada rejim Zionis,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Dalam masa sama, pemilik nama lengkap Ahmad Faizal Mohammad Tahir itu tetap dengan pendirian mahu memboikot produk dan jenama yang ada kaitan dengan Israel kerana ada solusi barangan lain.
“Kalau tidak boikot semua tiada masalah, sekurang-kurangnya ada. Nak buat 100 peratus memang susah.
“Namun, boikot perlukan kerjasama semua orang, kalau seorang sahaja yang buat memang tak jadi.
“Saya boleh hidup dengan jenama lain. Ini masanya,” jelasnya.
Sementara itu, dia berpendapat ekonomi negara akan meningkat sekiranya masyarakat menyokong produk tempatan.
“Ini masanya untuk kukuhkan ekonomi kita dengan menyokong barangan tempatan dan lepaskan diri daripada cengkaman negara Barat. Itu baru betul merdeka daripada pengaruh luar.
“Macam makanan segera, kita boleh cari alternatif lain. Malaysia ada Marrybrown dan SugarBun,” ujar pelantun lagu Sejati itu. – HIBGLAM