BCL, Tiko Wardhana nikah 2 Disember di Bali?

 

NAMA penyanyi dan pelakon Bunga Citra Lestari atau BCL menjadi bualan hangat apabila tular dakwaan dia bakal menamatkan zaman janda dengan ahli perniagaan dikenali sebagai Tiko Pradipta Aryawardhana pada 2 Disember depan.

Memetik laporan media Indonesia, majlis pernikahan BCL dan Tiko akan berlangsung di sebuah hotel di Bali.

Perkara tersebut turut disahkan oleh seorang kakitangan Kantor Urusan Agama (KUA) Pasar Minggu, Jakarta Selatan dikenali sebagai Emma Fatmayani yang berkongsi jangkaan lokasi pernikahan BCL adalah di KUA Mengwi, Bali.

“Kedua-dua pihak sudah menghantar borang dan salinan dokumen yang diperlukan termasuk sijil kematian suami BCL iaitu Allahyarham Ashraf Sinclair.

“Pihak Tiko juga sudah menyerahkan salinan dokumen pengesahan perceraiannya sebelum ini,” ujarnya.

Perkongsian tersebut sekaligus mendedahkan Tiko berstatus duda.

“Berdasarkan dokumen yang dihantar, Tiko adalah seorang duda yang bercerai hidup sebelum ini,” katanya lagi.

Sebelum ini, gosip percintaan BCL dan Tiko tercetus selepas aktres itu memuat naik video sambutan ulang tahun ke-40 pada Mac lalu .

Kelibat dan aksi mesra dalam video tersebut membuatkan ramai yang membuat spekulasi bahawa wujud hubungan istimewa antara mereka.

Selain itu, Tiko juga dilihat kerap hadir ke majlis keluarga BCL termasuk sambutan hari raya Aidilfitri tahun ini.

Terdahulu, BCL melalui kehidupan sebagai ibu tunggal selepas kematian Ashraf Sinclair akibat serangan jantung pada 18 Februari 2020.

Hasil perkahwinan dengan Ashraf mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Noah Aidan Sinclair.

Sejak hidup solo, BCL kerap terpalit dengan gosip cinta bersama beberapa selebriti lelaki Indonesia seperti Ariel Noah dan Reza Rahadian. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok