Bapa peminat Taylor Swift mahu saman penganjur konsert

“Jika benar pemergiannya disebabkan air tidak boleh dibawa masuk stadium seperti diperkatakan atau atas kecuaian penganjur, ada pihak perlu dihukum.”

Demikian kata Benevides Machado, 53 berikutan tragedi kematian anaknya ketika konsert Taylor Swift The Eras Tour di Rio de Janeiro, Brazil, Jumaat lalu yang tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak penganjur.

Katanya ketika ditemubual media tempatan, Ana Clara yang berusia 23 tahun sedang menunggu hari graduasi bagi menerima ijazah dalam jurusan Psikologi pada April tahun depan.

“Saya kehilangan satu-satunya anak yang bercita-cita tinggi. Dia pergi ke konsert itu dalam keadaan sihat. Tiada kata-kata mampu menggambarkan perasaan saya ketika ini,” katanya.

Sebelum ini Swift mengumumkan penangguhan hari kedua konsert di lokasi sama bagi memberi penghormatan kepada peminatnya itu.

Penyanyi sensasi itu menyatakan , hatinya hancur dengan berita pemergian seorang peminat akibat cuaca panas melampau mencecah 42 darjah celcius (°C).

“Saya tidak percaya saya menulis kata-kata ini, tetapi dengan hati yang hancur saya katakan kami kehilangan peminat malam tadi (kelmarin) sebelum persembahan.

“Tidak dapat diungkapkan betapa sedihnya saya ketika ini. Konsert ini terpaksa dibatalkan akibat cuaca ekstrim di Rio.

“Keselamatan dan kebajikan peminat, penghibur serta kru tetap diutamakan ,” tulisnya dalam hantaran menerusi Instagram.

TANGKAP layar luahan hati Taylor Swift berikutan tragedi tidak disangka baru-baru ini.

Menurut laporan media, Ana yang rebah dan kemudian meninggal dunia disahkan berpunca daripada serangan jantung  serta  masalahan pernafasan.

Khabarnya, penganjur Taylor Swift Eras Tour di Rio de Janeiro melarang penonton membawa minuman ke dalam kawasan konsert walaupun suhu sangat panas.

Selepas Rio de Janeiro, komposer berusia 33 tahun itu bersama rombongan dijadualkan bergerak ke San Paulo.

Sebelum itu, Swift juga dilihat tercungap-cungap usai membawakan lagu Bejeweled pada akhir aksinya dalam konsert malam pertama di Rio de Janeiro.

Sementara itu, menurut penganjur, Time For Fun (T4F) dalam kenyataan berasingan meyakinkan peminat bahawa pihak syarikat memastikan isu cuaca ekstrim dapat ditangani dengan baik.

Malah pihaknya turut menyediakan bekalan air di beberapa kawasan stadium termasuk laluan masuk, di pintu setiap kawasan serta mengedarkan minuman sepanjang konsert.

T4F dalam kenyataan tersebut memaklumkan konsert kedua itu akan diteruskan pada Isnin (waktu tempatan). – HIBLGAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok