Bakal juara GV10? Semua orang ada peluang – Liza Hanim

Liza Hanim atau nama sebenarnya, Haliza Hanim Abd. Halim mengakui bukan mudah bertanding dalam Gegar Vaganza All Stars (GV10) bersama deras ekspektasi ramai yang ingin melihat dirinya pulang dengan gelaran juara.

“Ketika nama diumumkan sebagai peserta GV10, ramai mula meletakkan ekspektasi tinggi terhadap saya.

“Perkara itu sedikit sebanyak memberi tekanan tetapi lama-kelamaan saya enggan hanyutkan emosi dan tolak semuanya ke tepi,” katanya baru-baru ini.

Bukan menidakkan kemampuan diri,  pemilik trofi vokal terbaik Anugerah Juara Lagu ke-17  itu berkata, peserta lain juga memiliki kehebatan tersendiri.

Ujarnya, ketika ini semua dalam fasa survival bagi memastikan terus ‘bernyawa’ sebagai peserta GV10.

“Adakalanya rasa macam beratnya harapan orang terhadap saya.

“Saya sendiri tidak boleh menafikan kehebatan peserta lain yang turut berjuang memberikan persembahan terbaik setiap minggu.

“Jadi, kami semua sedang ‘survive’ dan beri semampu mungkin. Tolak tepilah akan jadi juara atau kedudukan pertama setiap minggu, yang penting semua peserta cuba sedaya-upaya,” jelasnya.

Dalam nada merendah diri, Liza berkata setiap peserta mempunyai potensi bergelar juara GV10, sekali gus meminta orang ramai memberi peluang dan sokongan yang sama terhadap mereka.

“Setiap orang ada hak untuk jadi juara, jadi jangan sesekali nafikan peluang mereka.

“Ini pertandingan dan pastinya setiap peminat mahu peserta kegemaran mereka menang. Sokonglah secara sihat dan tidak perlu pun mempertikai antara satu sama lain,” ujarnya.

Artikel penuh, layari www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar secara fizikal di kedai-kedai berdekatan.

 

 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok