PETALING JAYA — “Ya, saya Mawar”.
Demikian jawapan pelakon Mawar Rashid yang terus memutuskan panggilan sebaik wartawan memperkenalkan diri dan memintanya mengulas mengenai desas-desus perceraian dengan suaminya, Raf Yaakob.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu memilih pendekatan diam diri seribu bahasa daripada mengulas gosip kemelut rumah tangganya.
Malah pemilik nama penuh Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, 28, itu mematikan telefon ketika percubaan kedua HibGlam untuk menghubunginya semula.
Situasi tersebut menunjukkan Mawar enggan lagi diganggu pihak luar.
Sementara itu, penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob pula meminta adik iparnya serta Raf memberikan ruang.
Walaupun dia merupakan anak sulung, Fazley enggan masuk masuk campur mahu pun mengulas perkara tersebut.
“Saya mohon maaf, saya enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan terbabit. Saya mahu memberikan ruang kepada Raf dan isteri,” katanya.
Selebriti berusia 45 tahun itu juga memohon orang ramai mendoakan yang baik-baik untuk Raf dan Mawar.
Apa yang boleh saya cakap, saya mohon semua pihak mendoakan yang baik-baik untuk Raf dan Mawar. Saya pasti mereka akan memberi penjelasan mengenai dakwaan ini,” katanya lagi.
Sebelum ini, terdapat media melaporkan Mawar dan suami, Raden Ahmad Faizal Yaakob atau Raf Yaakob, 38, sepatutnya hadir ke mahkamah syariah hari ini untuk urusan penceraian.
Namun begitu, Mawar dan Raf masing-masing tidak kelihatan di mahkamah hari ini tanpa diketahui sebabnya.
Tinjauan HibGlam mendapati, Mawar juga tidak lagi mengikuti Raf Yaakob di Instagram baru-baru ini.
Mawar dan Raf disatukan sebagai suami isteri di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur pada tahun 2017.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Raden Muhammad, 4, Raden Seri Rosabella Cinta kini berusia dua tahun dan Raden Seri Riyanna Sayang, 10 bulan. – HIBGLAM