Azmir Saifuddin CEO baharu Finas

PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengumumkan Datuk Azmir Saifuddin Mutalib sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa hari ini sehingga 31 Oktober 2025.

Menerusi kenyataan media, Finas menyatakan Azmir memiliki pengalaman dan berkelulusan Ijazah Pengkomputeran dari Universiti Sheffield Hallam, United Kingdom.

Beliau memulakan kerjaya di Bahagian Kreatif Multimedia, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan di Base FX.

“Berdasarkan kepakaran dan pengalaman yang luas dalam industri kreatif, Finas yakin Azmir mampu menggalas serta melaksanakan tanggungjawab untuk memacu industri filem Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini, beliau pernah menyandang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah Finas antara Januari 2017 hingga 2019.

Pada 1 Jun lalu, Finas mengumumkan kontrak Profesor Dr. Md Nasir Ibrahim sebagai CEO tamat.

Dalam tempoh interim, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Finas, Rozita Waty Ridzuan melaksanakan tugas CEO sehingga jawatan berkenaan diisi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok