Azhar Sulaiman ‘naik hantu’

“SHARNAAZ Ahmad dah main kasar ni”.

Demikian respons pelakon senior, Azhar Sulaiman terhadap komen balas Sharnaaz Ahmad kepada seorang netizen berkaitan kenyataan dibuatnya sebelum ini berhubung isu Palestin-Israel.

Menerusi perkongsian dalam Instagram, Azhar turut memuat naik tangkap layar balasan komen Sharnaaz kepada seorang netizen yang mempertahankan bintang filem Abang 92 itu.

Begitupun, dipercayai Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad tidak melihat teguran kepada aktor yang lebih berusia daripadanya itu sebagai biadap.

Bagi memberikan gambaran lebih jelas, Sharnaaz memberi contoh sikap kurang ajar yang sebenar kepada pemilik akaun terbabit dengan menggunakan perkataan kasar.

“B@&$* pak hang. Itu contoh rude (kurang ajar) tau,” tulis pelakon The Original Gangster itu.

Difahamkan, perkara tersebut tercetus susulan hantaran video Azhar dalam Instagram mempertikaikan strategi digunakan panglima perang Hamas yang memulakan serangan kepada Israel.

Selain Sharnaaz, ramai meminta personaliti popular berusia 52 tahun itu ‘menurunkan’ video berkenaan termasuk penyanyi rap dan aktivis kemanusiaan, Caprice.

Biarpun menuruti permintaan ramai, Azhar yang sememangnya aktif berkongsi pendapat berkaitan isu semasa sejak dahulu menegaskan tetap utuh dengan pandangan asalnya.

Pada masa sama, pelakon merangkap arkitek itu turut mendakwa cara Sharnaaz mengulas semula pandangannya seolah-olah merendahkan tahap intelektualnya.

Sementara itu, semakan HibGlam mendapati muat naik paparan respons Sharnaaz kepada netizen itu sudah tiada dalam Instagram Azhar. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok