Alicia Amin takkan cintai lelaki lain

SAYA tak tahu sama ada nak gembira atau takut sebenarnya.”

Itu yang diungkapkan pelakon dan model tinggi lampai, Alicia Amin seraya mendedahkan, hubungannya dengan bekas suami, Dr. Farzan Iqbal kembali bertaut selepas bercerai 1 Mac lalu.

Bukan sengaja mencari publisiti murahan, namun situasi itu yang sedang berlaku dalam kehidupan pemilik nama lengkap, Raja Alicia Raja Amin kini.

Katanya, dia dan Farzan sedang dalam proses untuk rujuk semula sebagai suami isteri. Jika diperkenankan Ilahi, semuanya tidak mustahil.

“Sejujurnya, saya sendiri tidak pasti dengan apa yang berlaku, namun nampaknya seperti, saya dan bekas suami (Farzan) mungkin akan rujuk semula sebagai pasangan suami isteri.

“Minta tolong doakan yang baik-baik sahaja buat saya,” kata wanita berusia 28 tahun itu kepada HibGlam.

Alicia dan bekas suami, Dr. Farzan dalam proses untuk rujuk semula namun enggan terburu-buru.

Membuka lebih ruang penjelasan bekas peserta Asia’s Next Top Model musim kelima itu sebenarnya tidak mahu  mencanang perihal yang tidak pasti.

Apa yang nyata, hubungan dengan Farzan sememangnya tidak pernah memburuk biarpun sesudah bercerai.

“Semuanya (hubungan kami) macam dah kembali seperti dulu-dulu. Kita macam nak ‘get back together’ (kembali semula). Itu yang saya boleh cakap.

“Hubungan saya dengan Farzan sentiasa baik. Setiap hari telefon tanya dah makan ke belum. Kalau saya belum makan, dia akan ‘offer’ untuk pesan makanan.

“Bahkan kalau dia sedang bekerja atau tak boleh keluar, dia akan pastikan saya dalam keadaan baik (tanya dah makan dan sebagainya).

“Rasanya Farzan lagi okey sebagai seorang lelaki selepas bercerai dengan saya,” katanya.

Ditebak pertanyaan sama ada mereka benar-benar akan rujuk sebagai suami isteri, jawab Alicia: “Kami baru bercerai dan tak mahu tergesa-gesa rujuk semula.

“Saya sendiri rasa takkan bercinta dengan lelaki lain selain dia (Farzan).

“Saya akan terima dia balik sebagai suami kalau betul-betul jodoh kami bersambung dan panjang.”

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok